Tuesday, April 22, 2008

LARIAN OBOR

Larian obor olimpik akhirnya melalui Kuala Lumpur. Apa yang perlu kita ingat ialah larian tersebut memuliakan api, yang menjadi lambang kebesaran ugama orang Greek pada masa olimpik dimulakan. Juga perlu kita ingat bahawa larian obor itu bukan setakat semangat kesukanannya yang diambil kira, tetapi akar umbi larian tersebut juga perlu diberi penekanan. Ia berakar umbi dalam kepercayaan ugama yang memuliakan api.
Apabila kita membuat larian obor, maka dengan sendirinya kita memuliakan api tersebut sebagai barang sembahan yang dimuliakan, iaitu dengan menghidupkan semula tradisi keagamaan greek . Dengan itu kalau orang greek dulu dan sekarang memulia dan menyembah api, dan kita sama tumpang sekaki untuk memberikan penghormatan tersebut, maka samalah keadaannya seperti kita juga menyembah api. Kalau semasa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. api yangt dimuliakan Majusi padam, maka sekarang kita membawa api yang dimulia dan disembah oleh pelbagai pihak kuffar atas nama semangat kesukanan.
Saya rasa sudah berbuih ulamak di Malaysia berusaha cuba menyelamatkan umat Islam di Malaysia daaripada diperdaya oleh perbuatan syirik, namun itulah perkara yang diminati oleh ramai orang Islam. Kalau ulamak Malaysia memfatwakan bertafakur di hadapan tugu negara itu syirik, maka sedikit sekali orang yang ingin mengakurkan diri dengan fatwa tersebut. Kalau ada ulamak yang memfatwakan haram menyimpan berhala, maka ramai orang yang dengan bangga menyimpan patung yang akhirnya jadi berhala di pelbagai tempat. Walau apa pun, sekiranya pemerintah itu bukan peka dalam usaha menjaga aqidah masyarakat Islam, maka perkara-perkara kurafat seperti sememangnya disuburkan.
Tidakkah mereka faham bahawa api yang dioborkan dan dimuliakan dan dilarisambungkan itulah yang akan membakar mereka di akhirat kelak?