Thursday, April 17, 2008

PENCEN DAN KENAIKAN HARGA BERAS

Saya telah pun mencapai umur bersara dan telah pun menerima pencen bulanan saya yang pertama. Memang begitu, saya telah bekhidmat untuk negara lebih 30 tahun, dan setelah tahun-tahun perkhidmatan selesai, saya bersara dan menerima pencen. Dalam kata-kata biasa, orang mengatakan kakitangan kerajaan memanglah dapat pencen.
Dalam satu ceramah sekitar 1999 di Sungai Besar , Selangor, tempat yang banyak menghasilkan beras kepada negara, saya pernah bertanyakan kepada pendengar ceramah tersebut, yang rata-ratanya terdiri daripada penanam padi, adakah mereka yang dulunya bekerja sebagai penanam padi, tetapi sekarang ini tidak lagi mempunyai kekuatan fizikal untuk meneruskan usaha tersebut, mempunyai pencen.
Begitu juga dengan ibu saya. Begitu juga dengan arwah nenek saya, dan ramai lagi dari keluarga saya yang pernah bekerja sebagai penoreh getah, adakah setelah mereka tidak mempunyai kekuatan fizikal lagi untuk menoreh getah, mereka diberi pencen?
Begitu juga dengan para nelayan. Begitu juga dengan pekerja ladang kelapa sawit. Begitu juga dengan pelbagai bidang kerja yang lain. Apakah bentuk bantuan secara berterusan yang mereka terima setelah kekuatan fizikal mereka tidak mengizinkan mereka menyumbang kepada pembangunan negara?
Dengan kenaikan harga beras sekarang ini, apakah bentuk limpahan pendapatan tambahan yang diterima oleh petani-petani kita? Jawapannya ilah tiada.
Semasa ceramah tersebut, saya beritau pendengar, bahawa kerja menanam padi adalah satu pekerjaan yang sangat mulia, kerana ia menyediakan bahan makanan penting kepada rakyat. Ia bukanlah satu pekerjaan yang hina. Begitu juga dengan penoreh getah. Pekerjaan mereka adalah satu pekerjaan yang sangat mulia kerana mereka menyumbang kepada pendapatan negara dan dengan itu sama-sama membantu pembangunan negara. Begitu juga dengan pengait kelapa sawit. Begitu juga dengan para nelayan, dan seterusnya. Semua pekerjaan mereka adalah pekerjaan yang sangat mulia yang telah sama-sama menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara. Tetapi mengapakah orang yang telah menyumbang kepada pembangunan negara ini, dikala mereka sangat memerlukan kewangan setelah puas membanting tulang untuk memajukan negara, tidak diendahkan langsung? Adakah pekerjaan mereka hina berbanding dengan orang yang bekerja di ofis?
Yang jelas, selama 50 tahun, golongan ini tidak mempunyai sebarang bentuk social security yang disediakan oleh negara. Mereka disuruh membanting tulang untuk negara, tetapi apabila mereka telah tua, negara tidak memperdulikan mereka.
Seharusnya, mereka juga diberikan jaminan keselesaan hidup setelah mereka berjerih membangun negara secara berterusan, dan ditanggung oleh negara.