Monday, August 11, 2008

FORUM MEMELUK ISLAM

Assalamualaikum,

Saya rasa kekocohan yang berlaku hasil daripada forum yang iadaskan oleh Bar council dan bantahan yang dilakukan oleh sebahagian daripada orang islam tidak perlu timbul kalau semua pihak menghormati hak-hak yang telah sama-sama dipersetujui. Saya berpendapat idea asal yang cuba ditonjolkan oleh Bar Council adalah merupakan persoalan yang patut dibincangkan, kerana ia merupakan masalah yang sememangnya timbul apabila kita berhadapan dengan situasi cross -culture dan cross-religion seperti yang dipunyai oleh Malaysia. Cuma perlaksanaan perjalanan forum tersebut ada sedikit kurang bijak.
Asas forum tersebut sememangnya telah bersifat sensitif, dan diberi keadaan yang baru baru ini mengegarkan umat Islam di Malaysia, seperti kes Lina Joy, kes kes kematian yang jenazah dituntut oleh keluarga yang tidak mengetahui si arwah telah memeluk Islam, kes murtad dan macam macam kes lagi, maka Bar Council sepatutnya menghidu terlebih dahulu kesangsian dan kecurigaan umat Islam tehadap usaha-usaha yang seperti ini. Tidak dapat tiada fasal-fasal dalam perlembagaan Malaysia yang menjadi poin sensitif akan disentuh, dan inilah yang menimbulkan ketegangan. Saya rasa, kalau forum itu berlangsung dengan cara yang akademik dan semua pihak dimaklumi dan semua pandangan diambil kira serta dihormati, maka suasana harmoni dapat dipertahankan.
Membaca tulisan tulisan dalam beberapa laman blog yang menyifatkan islam itu sebagai ugama pengganas dan menjadikan orang bukan Melayu warga kelas dua adalah tulisan jahat. Mereka yang beranggapan demikian, tidak menjaga sensitiviti semua kaum di negara ini.
Saya sekali lagi menyokong idea yang cuba ditonjolkan oleh forum tersebut, tetapi tidak setuju cara forum tersebut ditangani oleh pihak penganjur, juga saya tidak setuju dengan cara pembantah merempuh perjalanan majlis orang.