Thursday, November 6, 2008

GAJAH DI MELAKA YANG BERANG

Assalamualaikum,


Saya pernah belajar yang mana sekolah itu yang naik marah, bukan gurunya. Sebab saya katakan demikian ialah kerana sekolah di mana saya belajar itu namanya Gajah Berang. Yang tidak boleh saya lupakan ialah saya berbasikal ke sekolah sejauh lebih kurang 20 km setiap hari persekolahan dan sementara menunggu pintu pagar persekolahan sesi petang dibuka, kami bersidai dipersekitaran pintu belakang sekolah.






Di luar pagar pintu belakang ini ialah kawasan kediaman, terdiri daripada penduduk Cina dan India. Yang saya pelik ialah penduduk India di situ bertutur dikalangan mereka dalam bahasa Melayu. Mulanya saya sangka saya tersilap dengar, tetapi lama kelamaan, memang jelas, mereka bertutur dalam bahasa Melayu.






Saya tahu mereka adalah penganut hindu, kerana semasa saya bersekolah itu, terdapat dua kuil hindu di situ. Lama selepas itu barulah saya tahu bahawa mereka ini adalah kumpulan etnik yang dinamakan Peranakan, atau Chitty Melaka, atau orang hindu yang lahir di negeri Melaka Straits Settlement.






35 tahun setelah saya berhenti dari Sekolah Menengah Gajah Berang, saya datang sekali lagi ke Kampung Chitty di Gajah Berang bersama pelajar saya untuk membuat kajian. Saya dapati keadaan kampung tersebut tidak berubah, penduduknya masih lagi miskin. Mereka masih menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya di kalangan mereka, cuma saya nampak kuil telah bertambah menjadi tiga semuanya.






Semasa menunggu pelajar pelajar menemu ramah penduduk kampung ini, saya mendengar seorang ibu mendendangkan anaknya yang ingin tidur. Ibu ini berpantun dengan pantun Melayu yang mana pantun tersebut memang merupakan pantun lama dengan kata kata yang klasik dan tidak lagi kedengaran digunakan sekarang.






Mereka ini adalah keturunan pedagang India dari pantai Coromandel di Selatan India yang datang ke Melaka sekitar abad ke 15. Mereka saya kira tidak lagi boleh bertutur bahasa Tamil, dan mereka nampaknya mengamalkan budaya Melayu sepenuhnya. Mereka menzahirkan taat setia kepada Yang Di Pertuan Agung Malaysia. Mereka adalah warga negara Malaysia.





Dalam konteks kontrak sosial, ketuanan Melayu dan semangat nasionalisme, adakah mereka ini setinggan?





Anda agak siapa dulu sampai ke Malaysia, datuk nenek mereka atau datuk nenek Khir Toyo?