Friday, January 29, 2010

PEKERJAAN HAJI.....23

Assalamualaikum,

Tali Pinggang Haji

Biasanya kalau anda ke Tanah Suci, samada untuk mengerjakan haji atau umrah, anda akan disyorkan menggunakan tali pinggang haji semasa memakai ihram. Gunanya tali pinggang ini ialah ia kukuh dan lebar, serta mempunyai beberapa poket berciri keselamatan untuk menjaga barang keperluan anda seperti wang atau, id, atau kad kredit. Apabila para hujaj mengenakan ihram, maka dengan memakai tali pinggang jenis ini ia akan memegang kain ihram tersebut dengan lebih kemas dan ini boleh mengelakkan si pemakai daripada terlondeh.

Ia mengingatkan saya kepada satu peristiwa semasa saya mengerjakan haji dalam tahun 1987. Semasa para jemaah sedang berada dalam masjid haram untuk menunggu solat, tiba tiba berdiri seorang lelaki menghadap para jemaah. Lelaki bukan orang Asia Timur, tetapi daripada pemerhatian saya, saya jangka dia seorang timur tengah yang non-Arab.Sambil menghadap para jemaah, lelaki ini memegang tali pinggang haji berwarna putih seperti di atas, dan, sambil bertutur dalam kata kata yang tidak saya fahami, beliau menunjukkan bahagian tali pinggang tersebut yang telah ditetas. Dari apa yang saya faham,beliau ingin menunjukkan yang beliau telah kena curi. Beliau melebarkan bahagian tali pinggang yang kena tetas tersebut untuk menunjukkan wang tiada lagi di situ.

Lelaki itu kemudian menangis, dan pada ketika itu rasa hiba menusuk ke dalam hati saya apabila melihat ramai orang menghulurkan wang kepada lelaki tersebut. Apabila lelaki tersebut lalu berhampiran dengan saya untuk memungut wang yang diajukan kepada beliau oleh para jemaah, saya pun menyeluk tali pinggang haji saya bahagian yang menyimpan duit lalu saya keluarkan sekeping wang kertas riyal. Tanpa melihat kepada wang kertas tersebut, saya lantas menghulurkannya kepada lelaki tersebut dan beliau menyambarnya.

Semasa wang kertas tersebut bertukar tangan, baru saya sedar yang wang itu adalah wang kertas 100 riyal. Saya berkata pada diri sendiri, tak mengapalah, itu dah rezeki dia.

Selang beberapa hari, saya tidak pasti samada di ruang yang sama , atau di ruang yang lain, saya nampak sekali lagi lelaki yang sama melakukan aksi yang sama.

Saya kata kepada diri sendiri; ah, terkena juga aku!