Tuesday, April 27, 2010

ANALISIS PRK P094

Assalamualaikum,

Sebagai kumpulan yang telah terbiasa dengan kekalahan dalam pilihanraya raya, saya rasakan tiada apa apa kejutan yang berlaku dalam pilihan raya kecil P094 Hulu Selangor. Cuma analisis yang dibuat ini adalah daripada rakan, dan diharap pihak rakan yang lain perlu melihatnya sebagai teguran, bukan kutukan.

Hulu Selangor adalah tempat tradisi calon India, jadi kita perlu raikan keadaan ini. Sekiranya PKR meletakkan seorang calon orang India warganegara Malaysia, [di sini saya gunakan istilah Indsia bermaksud orang India warganegara Malaysia, berbeza dengan orang India di India dan lain lain] maka masyarakat Indsia akan ada representasi dalam parlimen, samada BN menang atau pun PR yang menang. Ini tidak diraikan oleh PKR.

Sebahagian masyarakat Indsia memberikan ketaatan mereka kepada MIC. Yang tidak memberikan ketaatan mereka kepada MIC memberikan pula ketaatan kepada Hindraf. Apa yang diperlukan oleh PKR ialah mendapatkan restu daripada Hindraf agar calon yang mereka letakkan, yang bukan terdiri daripada orang Indsia, direstu oleh Hindraf ini, dan dengan itu undi kumpulan ini boleh pergi kepada PKR.

Sudah tentu untuk mendapatkan restu ini, Hidraf akan meletakkan harga, tetapi, kalau kemenangan ingin diraih, maka kemenangan tersebut perlu dibayar dengan harga. Kadang kadang harga itu mahal, tetapi semuanya boleh dirunding semula selepas kemenangan dicapai.

Apabila Hindraf tidak memberi restu, maka PKR tidak dapat undi secukupny daripada kelompok yang menentukan menang atau kalah.

Jentera pilihanraya PKR juga adalah lemah. Jentera pilihanraya yang kuat ialah jentera PAS. yang tidak memerlukan pelincir kewangan dan gigih bekerja. Tidak memberi kepercayaan penuh kepada jentera PAS untuk membantu gerakerja adalah satu sifat ego yang merugikan.

Perlu diingat, PKR tidak punya jentera yang mantap. Tetapi PKR punyai pengundi. PAS punyai jentera yang mantap, tetapi pengundi yang terhad. DAP juga tidak punya jentera pilihanraya, tetapi punyai pengundi yang sedia mematuhi isyarat pemimpim mereka. Jelas, ketiga komponen ini saling memerlu antara satu dengan yang lain. Oleh itu, central command perlu mengetahui kekuatan dan kelemahan ini dan bersedia menggunakan apa yang ada ditangan.

Menangani prk sebuah kawasan parlimen memerlukan jentera yang ramai. Ditolak prk Permatang Pauh, ini adalah satu satunya prk parlimen yang ditandingi oleh PKR, dan jelas, kelompongan dari segi tenaga kerja menggugat peluang untuk menang. Apabila perkampungan pengundi Cinsia (saya gunakan istilah ini untuk orang Cina warganegara Malaysia) dikepung oleh ganster BN, central command PRK tidak punyai tenaga untuk menuetralkan keadaan, dan dengan itu, sebahagian pengundi Cinsia tidak keluar mengundi kerana tidak mahu menyusahkan diri berhadapan dengan gangster BN.

Bagaimana pula dengan jentera PKR yang dineutralkan oleh BN dengan menghulurkan wang kepada mereka? Inilah yang menjejaskan prestasi pada hari pembuangan undi.