Monday, November 1, 2010

ASSALAMUALAIKUM TUAN!

Assalamualaikum,

Semasa saya belajar di tingkatan 1 atau 2, sekitar 1966/1967 saya berusaha sendiri untuk mencari tempat tution, atau pada masa itu dikenali sebagai kelas tambahan. Di kampung bersebelahan ada tempat seperti ini, diusahakan oleh mereka yang telah berjaya ke universiti untuk membantu anak anak orang kampung. Saya dan seorang kawan bernama Jantan masuk kelas ini.

Seorang tenaga pengajar, yang juga pengasas adalah bekas guru, yang telah berjaya ke universiti. Kami memanggil dia cikgu. Kemudian masa berlalu dan pelbagai liku yang telah ditempuhi, yang mana salah satu jawatan kemudiannya yang disandang oleh cikgu ini ialah D.O.  Di mana aku tidak tahu. Tetapi orang memanggil cikgu saya ini dengan panggilan TUAN D.O., atau secara mesranya TUAN sahaja.

Pertengahan tahun 1980an, saya bertemu kembali dengan cikgu ini. Pada masa bertemu itu, beliau masih ingat saya, dan saya masih ingat beliau. Pertemuan itu pula di beberapa majlis perubatan Islam. Saya perhatikan semua mereka yang berkaitan dengan pembelajaran perubatan tersebut memanggil beliau TUAN.

Oleh kerana saya telah kenal lama dengan beliau ini, dan saya telah serasi dengan memanggil beliau cikgu, maka pada satu ketika, semasa dalam mundar mandir setelah selesai sesi belajar, saya terserempak dengan beliau lantas saya tuturkan assalamualaikum cikgu!

Serta merta saya perhatikan air mukanya berubah, daripada ceria kepada sedikit kurang selesa. Kemudian ada pula orang lain yang menyapa beliau sebaik setelah sapaan saya tadi. Orang itu kata assalamualaikum TUAN! Maka si TUAN ini kembali ceria dan mesra.

Maka saya tahu. Things have changed. Saya sudah buat silap dengan memanggil dia dengan panggilan yang saya rasa mesra, tetapi degrading kepada orang yang menerima panggilan tersebut.

Selepas daripada itu, apabila saya bertemu dengan beliau, saya terus menyapa dengan mesra dan suara yang agak mudah beliau dengar, dan kemudian kemesraan terpancar selepas sapaan itu. Setiap kali saya bertemu beliau saya akan kata:

ASSALAMUALAIKUM TUAN!