Saturday, July 21, 2012

PUASA BERLUMUR DODOL

سۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته





Aku kira sekitar 1963, dalam bulan ramadhan rumah emak aku di Paya Baru sibuk dengan aktiviti mengacau dodol kira kira pertengahan bulan ramadhan. Sebenarnya bukan bulan ramadhan yang itu sahaja, tetapi setiap ramadhan orang kampung aku akan bertungkus lumus untuk mengacau dodol.

Pada tahun 1963 tu aku berumur sekitar 11 tahun, dan dikira mempunyai kudrat yang mencukupi untuk dikerah sebagai buruh kasar tukang kacau dodol. Selalunya emak aku akan membuat dodolnya, diikuti pula pada hari lain oleh nenek aku sebelah bapa, Hjh Saminah yang tinggal serumah dengan emak dan bapa aku. Kemudian pada hari lain pula emak saudara aku, almarhumah Tijah pula buat kacau dodol.

Dalam ketiga tiga kes ini, aku menjadi tonggak pengharapan untuk mereka mengacau dodol, kerana adik adik masih kecil, dan bapa aku almarhum Hj. Ithnin, sememang telah menjadi trademark dia, apabila ada kacau dodol di rumah kami, beliau akan menghilangkan diri.

Biasanya kacau dodol ni dimulai sebaik selepas sahur, kawah ditenggek, api dihidupkan menggunakan kayu getah kering, dan kemudian santan dimasukkan. Bila santan telah terbit minyak, tepung beras yang telah di boh dimasukkan, kemudian gula pasir dan diikuti oleh gula melaka atau gula coklat. Dan kacauan perlu dilakukan secara terus menerus.

Mula mula kacau masih ringan, kemudian bertambah berat sebab tepung sudah masuk, bertambah berat lagi bila gula dimasukkan. Dodol akan menjadi lebih berat terasa untuk dikacau bila ia mengental, maka disitulah berlakunya perjuangan yang maha pahit.

Kacauan perlu diteruskan, kalau tidak dodol tidak menjadi. Hari semakin meninggi, badan terasa lembik dan loyak. Orang yang yang nak membantu kacau tidak kelihatan. Yang mengacau dodol aku bersaorangan dibantu sekali sekalo oleh emak dan mereka yang sengaja mencari nahas mengintai ngintai kacau dodol tersebut.

Kira kira asar, barulah dodol tu dikira masak. Diangkat dan dimasukkan ke dalam anyaman mengkuang atau dalam bekas bekas lain yang boleh dipotong bersama dengan dodol bila nak memakannya.

Pada ketika itu aku telah lembik lagi loyak, tinggal sedikit sahaja masa berpuasa sebelum sampai waktu berbuka. Tiba tiba muncul bapa aku, muncul bapa saudara aku, Abdul. muncul si anu dan muncil si ini.

Aku dah terbanteng dan terbongkang kelelahan dan kepenatan.