Thursday, February 4, 2010

PEKERJAAN HAJI.....27

Assalamualaikum,

Hijr Ismail

Yang dimaksudkan dengan Hijr Ismail ialah satu kawasan ditepi kaabah yang dikepungi oleh satu lengkuk separa bulat di bahagian utaranya. Bentuk sekarang ialah ditepi kaabah terdapat satu binaan yang melengkuk, dan terdapat ruang antara dinding kaabah dengan lengkuk ini. Dalam gambar di atas lengkuk tersebut dapat dilihat berwarna putih.

Keadaan Hijr Ismail sekarang ialah ia terpisah daripada binaan kaabah. Pada zaman Nabi Ibrahim, Hijr Ismail ini adalah tempat berteduh baginda dan tempat ternakan Nabi Ismail, dan ia bersambung dengan kaabah.

Apabila kaum Quraisy membuat renovasi terhadap kaabah yang telah rosak disebabkan banjir, saiz kaabah telah dikecilkan, kerana mereka kekurangan dana daripada sumber yang halal. Oleh itu, sebahagian daripada Hijr Ismail ini telah terpisah daripada binaan kaabah yang asal. Walau bagaimana pun, bahagian yang terpisah ini dikira dalam kaabah juga.

Oleh itu, sekiranya anda tidak dapat sembahyang di dalam kaabah, maka sembahyang dalam kawasan Hijr Ismail juga adalah sembahyang dalam kaabah.

Mencari peluang untuk berada dalam Hijr Ismail

Hijr Ismail adalah satu lokasi yang sentiasa menjadi rebutan oleh para jemaah, samada untuk solat, berdoa, mengadu kepada Allah, atau apa jua ibadat lain. Sekiranya anda dapat berada dalam Hijr Ismail, dan dapat solat sambil bersiri sahaja, itu pun sudah mencukupi. Apatah lagi kalau anda dapat solat dalam pergerakan seperti biasa, itu adalah terlebih baik lagi.

Diberitahu kepada kita bahawa doa di Hijr Ismail ini mustajab, sebab itulah orang berebut rebut untuk solat di sana.

Ada petua yang diberikan kepada saya bagaimana untuk solat di Hijr Ismail. Caranya ialah anda hampiri laluan masuk ke Hijr Ismail. Berdiri sahaja di situ. Jangan tolak orang lain. Berdiri dan tunggu. Nanti akan ada orang lain yang tolak anda sehingga anda termasuk dalam Hijr Ismail.

Bila sudah masuk, solat segera, selesai salam, segeralah tinggalkan ruang tersebut, sebab orang lain sedang menunggu anda mengosongkannya.

Nak cuba petua ini?