Friday, August 12, 2011

KAU KE YG HEBAT?

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Hebatnya tuan-tuan, selepas solat isya' tuan-tuan mampu solat sebanyak 23 rakaat lagi. Kata ku, sebaik sahaja selesai mengimamai solat isya' berjamaah dan juga setelah selesai solat sunat ba'diyah isya' di Surau Al Ehsan.

Malam itu aku dijadualkan mengimami solat isya' dan solat tarawih di surau berkenaan. Aku kira itu dalam tahun 1994, sebab tahun 1995 Mat Sabu kena tangkap basah. Penduduk terawal di kariah surau ini ramai yang terdiri daripada penyokong totok amenoh. Mereka dapat rumah di kawasan itu atas kuota politik, jadi memang ramai mereka ni totok yang superlatif, seperti kata peribahasa kalau dituris kulit, mengalir darah cap keris.


Juga surau ini tidak membudayakan tazkirah, jadi, oleh kerana aku yang imam, samada mereka setuju atau tidak aku rebut peluang ini untuk membuat tazkirah 2 minit sebaik selesai solat sunat ba'diyah isya' dan sebelum bermula solat tarawih.

Cuba tuan-tuan bayangkan, kalau di luar bulan ramadhan, kita nak solat sunat selepas isya' pun susah. Ada juga yang nak solat fardhu isya' pun tidak mampu, tetapi kini dalam bulan ramadhan, setelah kita letih seletih letihnya, setelah kita layu selayu layunya, setelah tekak kita kering sekering keringnya berpuasa seharian, maka sebelah malam pula meremut kita keluar dari sarang sarang kita menuju ke masjid menuju ke surau dan musolla. Aku pandang cikgu tahir, dia tunduk. Aku pandang radin, pun tunduk. Aku pandang encik din, dia tunduk.

Setelah solat fardhu isya' kata ku, kita tunaikan pula solat sunat isya'. Aku lihat mat jan pun tunduk juga. Yang ajaibnya, kata ku lagi, selepas solat sunat isya' ini, di bulan bulan luar ramadhan, kita berderun kembali ke rumah masing masing.

Tapi, tambahku, dalam bulan ramadhan yang mulia ini, setelah selesai solat sunat isya', kita mampu lakukan solat sunat lagi, sedang siang tadi kita sudah cukup layu keletihan. Aku lihat cikgu yunus pun tunduk je. Solat sunat yang kita lakukan ini, bukan 2 rakaat, bukan 4 rakaat, aku lihat cikgu tahir memandang kepada aku, tetapi 23 rakaat.

Tentulah kita hebat kalau kita mampu mengerjakan solat sunat sebanyak itu. Tapi benarkah kita yang hebat? aku melontarkan soalan. Cikgu tahir kelihatan bersinar matanya seolah menantikan jawapan.

Sebenarnya bukan kita yang hebat. Ramadhan itulah yang hebat

Kita menumpang kehebatan ramadhan itu.