Tuesday, May 20, 2008

ANALISIS MAHATHIR KELUAR UMNO

Assalamulaikum,

Ramai orang akan bertanya apakah yang menyebabkan Dr. M mengambil tindakan untuk keluar UMNO. Kalau kita ambil apa yang diberitahu oleh beliau sendiri sebabnya ialah beliau telah hilang kepercayaan kepada kepimpinan UMNO sekarang. Adakah itu benar?
Pertama, perlu kita nilai, adakah Dr.M ini pemimpin bertaraf dunia? Kalau kita perhatikan pemimpin bertaraf dunia, apabila mereka melepaskan jawatan yang mereka pegang, mereka tidak akan lagi berkecimpung dalam kancah politik negara, kerana, kalau ia masih mahu terus berkecimpung, ia tidak sepatutnya melepaskan jawatan politik. Terbaru kita lihat Tony Blair, apabila beliau melepaskan jawatan sebagai perdana menteri Britain, beliau menjadi duta bagi usaha damai di dunia. Begitu juga dengan Bill Clinton, Bush senior, Jimmy Carter dan banyak contoh lagi. tetapi apa yang berlaku dalam kes Dr. M ini ialah apabila beliau dengan sukarela melepaskan jawatan politiknya, beliau tidak mahu melepaskan sama ketagihannya kepada kancah politik. Inilah apa yang disifatkan oleh Musa Hitam sebagai duri dalam daging bagi UMNO.
Jadi, di sini Dr. M bukan seorang pemimpin bertaraf dunia seperti yang digembar gemburkan oleh juaknya di zaman pemerintahan beliau.
Kedua, Dr. M sebenarnya sakit. Bukan sahaja fizikalnya, tetapi yang hendak ditekankan di sini ialah psikologinya. Dalam istilah A. Kadir Jasin, penulis tersebut menamakan penyakit Dr. M ini sebagai post prime ministerial syndrom. Kalau orang kampung bersalin, ia dinamakan gila meryan. Saya kategorikan penyakit ini sebagai ketagihan, dan saya namakan ia sebagai ketagihan kuasa. Jadi dalam banyak hal, Dr.M merasa terkulat kulat apabila ada isu-isu yang timbul yang mana dulu semasa ia memegang kuasa, dapat ditanganinya dengan caranya, tetapi sekarang ia tidak lagi dapat campur tangan. Hatta pendapatnya pun tidak diperlukan lagi. Penyakitnya ini menyebabkan ia terasa diketepikan dan tidak diperlukan lagi. Apabila pandangannya, dan ideanya tidak lagi diterima dan tidak diterima pakai, maka penyakit ketagihan ini jadi meluap.
Ketiga, orang seperti Dr. M ini memang menjadi masalah dalam oraganisasi. Anda boleh lihat track record beliau, semasa beliau bukan ketua, pelbagai masalah timbul, sehingga beliau terkeluar daripada UMNO pada satu ketika dulu. Semasa beliau memimpin UMNO, wujud satu satu sindrom, atau keadaan takut menegur pemimpin. Dan ini telah merosakkan UMNO dan lebih teruk lagi ia turut merosakkan negara.
Keempat, Dr. M mengajak ahli ahli UMNO untuk sama sama mengikut beliau keluar daripada UMNO. Anda fikir ada orang UMNO yang akan mengikut beliau? Saya tidak fikir. Kalau ada orang yang ingin bersama beliau, hanyalah orang yang paling taat dengan beliau dan orang ini adalah orang yang tidak mempunyai jawatan penting dalam parti. mengetahui mentaliti UMNO, adalah amat sukar bagi ahli mereka melepaskan kepentingan mereka, terutamanya sekiranya mereka memegang jawatan yang boleh memberi pulangan material yang besar. Saya rasa ramai diantara mereka yang akan mengambil sikap biarlah Luncai terjun dengan labu labunya, namun mereka tetap mempertahankan kepentingan dan jawatan yang mereka sandang sekarang.
Kelima, akan adakah ahli parlimen yang akan mengikut jejak langkah Dr.M ini? Juga di sini saya katakan tidak. Hatta anak beliau sendiri pun, YB Mukhriz tidak akan mengikut jejak langkah bapanya. Ini adalah kerana ia lebih banyak membawa kerugian berbanding dengan keuntungan. Sekiranya berlaku keadaan di mana ahli parlimen turut sama dengan tindakan Dr.M, saya percaya parlimen akan dibubarkan dan pilihanraya baru akan diadakan. Tetapi keadaan ini adalah sesuatu yang jauh berada di satu udut yang kemungkinannya amat tipis sekali.
Keenam, kedudukan Pak Lah semakin goyah. Beliau tidak akan dapat bertahan lama dengan jawatan yang dipegangnya sekarang. Akhirnya, beliau akan diketepikan, kalau tidak dengan kerelaan sendiri, beliau akan dipaksa berundur, yang mana pilihan kedua itu lebih memalukan. Jadi mau tidak mau beliau perlu merangka satu exit strategy.
Apabila Pak Lah berundur, kita akan lihat satu persabungan sengit dalam UMNO.