Monday, June 30, 2008

THE FINAL PUNCH

Assalamualaikum

Dalam politik Malaysia, saya mempunyai teori sendiri yang saya namakan teori one-two punch. Apa yang dimaksudkan oleh teori saya ini ialah untuk menjatuhkan kerajaan BN dan menggantikannya dengan kerajaan lain, kita tidak akan mampu menjatuhkannya dengan sekali tumbuk sahaja, seperti dalam sukan tinju. Dalam sukan ini, kalau lawan itu hendak dijatuhkan, maka sekiranya satu tumbukan padu dapat dilepaskan dan tepat mengenai sasaran, lawan tersebut boleh jatuh. Tetapi teori saya ini mengatakan, kalau kita hendak tumbangkan BN, ia tidak boleh dilakukan dengan satu punch sahaja. Ia mesti dilakukan dengan tumbukan kombinasi one-two, bermaksud tumbukan pertama mengegar dan memamaikan lawan, dan diikuti dengan killer punch yang menumbangkan terus lawan.
Selama ini, BN amat sukar untuk digugat. Tetapi dalam pilihan raya yang lepas, BN telah pun kena tumbukan pertama dari kombinasi tumbukan tersebut. Apabila BN hilang 2/3 majoriti, itu adalah petanda yang ia telah terkena satu daripada dua tumbukan tersebut. Apabila seorang peninju terkena tumbukan seperti ini biasanya ia akan terhuyung hayang, apa yang diperlukan sekarang ialah melepaskan satu tumbukan padu di kepala untuk menamatkan penentangannya.
Sekarang BN telah membuka pertahanannya untuk membolehkan tumbukan padu tersebut dilepaskan, atau boleh juga dikatakan bahawa BN telah buat satu kesilapan yang membolehkan satu tumbukan padu dilepaskan kepadanya sebagai satu killer punch. Kesilapan tersebut ialah dengan fitnah terancang dengan mengatakan Anwar Ibrahim meliwat seseorang. Inilah dia kesilapan yang dilakukan oleh BN. Dan Anwar berjaya memesongkan perancangan jahat ini dengan meminta perlindungan di kedutaan Turki. Kesannya ialah Anwar mendapat perhatian awam dan mendapat simpati serta belas kasihan awam. Belas kasihan inilah yang akan menjadi killer punch untuk menjatuhkan BN.
Sesuatu yang mungkin tidak dibaca oleh para strategis UMNO/BN ialah betapa mendalam dan meluasnya karisma Anwar. Apabila Anwar mengajak rakyat Malaysia bersatu padu, rakyat mendengar dan menerima saranan beliau, dan ini akhirnya diterjemah menjadi undi dalam pilihan raya. Dengan seruan ini, orang bukan Islam, samada Cina atau India atau lainya, tidak keberatan memberikan undi mereka kepada PAS, dan orang Islam, termasuk orang PAS tidak keberatan memberi undi mereka kepada calon bukan Islam. Ini sudah sekian lama digerakkan oleh PAS, tetapi tidak mendatangkan hasil yang memberangsangkan. Apabila Tuan Guru Nik Aziz, atau Tuan Guru Haji Hadi menyeru orang bukan Islam untuk memberikan undi mereka kepada PAS, tidak ramai yang mahu menerima atau tertarik dengan seruan tersebut, walaupun kedua pemimpin ini mempunyai kedudukan yang cukup tinggi dalam pandangan politik di Malaysia. Tetapi apabila Anwar Ibrahim memacu gerakan politik di Malaysia, ramai orang dari setiap lapisan masyarakat dan setiap kaum percaya dan menerima ajakan beliau. Penduduk Malaysia mempunyai trust kepada beliau. Trust atau kepercayaan inilah yang menjadi penyebab beralihnya undi sebahagian besar pengundi Malaysia kepada Pakatan Rakyat. Dan peralihan ini belum selesai, malah semakin menambah momentum yang menggandakan kekuatannya.
Tiba-tiba UMNO/BN membuat satu kesilapan besar dengan cuba mengimplikasikan Anwar dengan satu perlakuan tidak bermoral. Tujuan asalnya ialah untuk menjatuhkan Anwar, tetapi mereka tergelincir dan pantulan kegelinciran tersebut menghentam muka mereka sendiri. Mereka yang memberi peluang kepada killer punch itu dilepaskan. Dan sememang, ia akan dilepaskan, dan kali ini UMNO/BN akan jatuh tersungkur.
Sehebat mana pun Mike Tyson, akhirnya dia tersembam mencium kanvas gelanggang. Sekuat mana pun UMNO/BN, akhirnya ia akan tersembam di persada politik Malaysia.