Tuesday, November 11, 2008

AGIHKAN SEMUA KUTIPAN ZAKAT

Assalamualaikum,



Kita sering dengar lembaga lembaga zakat mempunyai lebihan kutipan yang banyak sehingga tidak tahu bagaimana nak dihabiskan dana yang terkumpul. Saya rasa apa yang berlaku ialah mentaliti takut atau kedekut untuk membelanjakan dana kutipan zakat itulah yang menghantui bukan sahaja lembaga zakat, tetapi banyak institusi ummah yang lain yang mempunyai dana yang banyak.
Kalau diambil lembaga zakat Selangor sebagai contoh: Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS mengagihkan zakat kepada golongan fakir dan miskin di Selangor menjelang Ramadan dan hari raya 2008 ini sebanyak RM11,759,950.00 (juta) kepada 15, 913 keluarga fakir dan miskin.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM4,302,900 (juta) diagihkan kepada golongan miskin, manakala RM7,457,050.00 (juta) diagihkan kepada golongan fakir dengan masing-masing menerima di antara RM550 hingga RM1,000 setiap keluarga dalam bentuk wang tunai bergantung kepada jumlah tanggungan.
Di Selangor terdapat seramai 5,985 keluarga asnaf miskin berbanding 8,780 keluarga tahun lalu, manakala bagi asnaf fakir pula terdapat seramai 9,928 keluarga berbanding 672 keluarga fakir sahaja tahun lalu. Peningkatan jumlah fakir yang tinggi ini berpunca daripada penggunaan haddul kifayah (garis kecukupan penentuan kemiskinan) yang telah dinaikkan bermula tahun ini.
Daerah Sabak Bernam mencatatkan bilangan paling ramai menerima bantuan iaitu kira-kira 3,432 keluarga dengan nilai bantuan sebanyak RM2,498,700 juta. Ini diikuti daerah Hulu Langat seramai 2,482 keluarga (RM1,838,950), Kuala Selangor 2316 keluarga (RM1,688,300), Petaling seramai 1,698 keluarga (1,316,950), Hulu Selangor seramai 1,481 keluarga (1,097,550), Gombak 1,379 keluarga (RM1,034,000) dan Kuala Langat seramai 1,378 keluarga (RM969,950). Manakala bagi daerah Klang dan Sepang masing-masing seramai 1,174 keluarga dan 573 keluarga dengan nilai bantuan sebanyak RM899,600 ribu dan RM415,950.
Apa yang ingin saya cadangkan di sini kepada semua institusi yang diamanahkan mengagih dana kepada umat Islam supaya menghabiskan semua dana tersebut dengan cara pengagihan adil dan telus sebelum habis tahun perkiraan.
Digembarkan bahawa kutipan zakat di Selangor dijangka melebihi rm 200 juta dalam tahun 2008. Kalau angka rm 200 juta digunakan sebagai contoh bagi kesemua 8 asnaf, maka setiap asnaf akan layak menerima rm 25 juta. Kalau digunakan angka jumlah keluarga miskin di Selangor, maka setiap keluarga akan layak dapat rm 4177.00, sementara keluarga fakir pula akan dapat rm 2518.00. Apabila agihan sedemikian diberikan sewaktu menyambut ramdahan atau hari raya, alangkah lega mereka yang menerima jumlah sedemikian.
Kalau hendak bersifat lebih saksama semasa pengagihan, kriteria per kapita boleh digunakan, seperti untuk asnaf fakir, terdapat 9928 keluarga, dan jumlah isirumah kesemuanya katakan 69496. Jadi kelayakan penerimaan per kapita ialah rm 359.73. Sekiranya satu keluarga fakir itu mempunyai 6 orang isirumah, maka kelayakan zakat ialah rm 2158.38, atau sekiranya keluarga fakir itu mempunyai 3 orang isi rumah, maka kelayakannya ialah rm 1079.19.
Maka apabila pengagihan dilakukan, semua peruntukan bagi asnaf berkenaan sepatutnya habis diagihkan.
Dengan demikian, semua mereka yang layak menerima zakat, akan dapat bahagian masing masing dalam pengagihan. Jadi, kalau ada pelajar yang memerlukan bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran, maka peruntukan dalam asnaf yang berkenaan dibelanjakan sepenuhnya. Begitu juga dengan asnaf asnaf yang lain. Kriterianya ialah wang zakat hendaklah habis diagihkan dengan betul mengikut syarak.
Sering terdengar keluhan bagaimana susahnya hendak menagih peruntukan zakat daripada lembaga lembaga zakat. Saya nasihatkan lembaga lembaga zakat supaya lebih bersedia melakukan type I error, berbanding dengan type II error.
Type I error ialah orang yang tidak layak menerima zakat, tetapi berpura pura layak dan akhirnya dapat agihan zakat.
Type II error ialah orang yang layak menerima zakat, tetapi kerana kerenah birokrasi tidak menerima agihan zakat.