Sunday, November 9, 2008

KONSEP GOYAH KETUANAN MELAYU

Assalamualaikum,


Pagi tadi masih lagi kedengaran belum selesai lagi mengupas dan menerangkan apa itu ketuanan Melayu. Nampaknya walaupun seluruh media dikerah, dan seluruh akademia ampu ampuan, seluruh pak menteri berbuih liur mereka menerangkan apa itu ketuanan melayu, namum nampaknya mereka merasakan penerangan itu masih lagi belum cukup. Sebab itu puak puak Gapena terus lagi menerangkan apakah itu sebenarnya ketuanan melayu.
Pada mereka Ketuanan Melayu ialah orang Melayu tuan rumah. Orang bukan Melayu tetamu, atau kalau nak ketuk sedikit, orang bukan melayu adalah pendatang, seperti yang dihamburkan oleh orang UMNO Bukit Bendera, Pulau Pinang. Dalam kata kata yang lebih tegas, orang Melayu ialah boss, orang bukan Melayu ialah kuli.
Asas hujah mereka ialah sebeleum kedatangan Inggeris, penduduk asal Tanah Melayu ialah orang Melayu, penduduk asal Sabah dan Sarawak ialah orang Melayu dan orang asli di sana dari pelbagai kumpulan etnik. Hanya setelah datangnya Inggeris, barulah datang orang Cina. Hanya setelah datangnya Inggeris, barulah datangnya orang India. Maka tuan rumah ialah orang Melayu. Dari sini terpancarlah status siapa sebenarnya tuan. Lahirlah ketuanan Melayu.
Konsep ketuanan Melayu inilah adalah satu amaran kepada bangsa bangsa lain di Malaysia, jangan cuba cuba hendak melebih lebih, apa yang telah ada pada anda sekarang sebenarnya lebih daripada cukup. Kamu hendaklah tahu erti bersyukur, iaitu makna bersyukur ikut kehendak puak ini ialah enggeh sahaja apa yang dibuat oleh UMNO. Jangan banyak soal.
Mereka juga mengungkit semula apa yang disebutkan sebagai kontrak sosial. Yang dimaksudkan dengan kontrak sosial ini ialah perjanjian lisan antara pemimpin UMNO, MCA dan MIC semasa merundingkan kemerdekaan Malaya. Intipati kepada kontrak sosial ini ialah isu kewarganegaraan. Samada disebabkan kebijaksanaan, atau kelebaian, atau kebebalan,atau dipulas Inggeris, UMNO telah menganugerahkan kewarganegaraan kepada non Melayu secara jus soli pada ketika itu. Ini sekali gus menaikkan jumlah rakyat yang bertaraf warganegara hampir menyamai bilangan orang Melayu. Untuk mengimbang kembali keadaan ini, UMNO meminta kedudukan istimewa orang Melayu yang akhirnya termaksub sebagai artikel 153(1) perlembagaan persekutuan. 153(1) inilah asas ketuanan Melayu.
Cuma puak nasionalis ini terlepas pandang ialah mereka telah menganugerahkan status warganegara kepada mereka yang diperlekeh sebagai pendatang ini. Apabila mereka diberi status warganegara, maka kedudukan mereka dijamin oleh perlembagaan, dan dengan itu mereka mempunyai rights and priviledges dan tanggung jawab. Rights adalah seperti misalnya mereka mempunyai hak mengundi, mempunyai hak untuk pemilikan harta, hak kepada pelajaran dan apa jua hak yang diberi oleh negara kepada orang Melayu. Itu yang disebut sebagai samarata dalam artikel 8 perlembagaan Malaysia. Priviledges adalah seperti kalau bukan warganegara kena bayar fee hospital berbeza dengan warganegara. Tanggung jawab adalah mereka memberi ketaatan kepada Yang Di Pertuan Agung dan akur dengan undang undang Malaysia.
Jadi ketuanan Melayu adalah satu keangkuhan kepada gelagat mengangkat misai menjulang ke langit sambil menghunus keris telanjang. Konsep tersebut telah lebur dengan penganugerahan kewarganegaraan secara jus soli semasa merundingkan merdeka. Yang tinggal adalah 153(1) yang dipersetujui oleh semua warganegara negara ini.
Yang tercabar sekarang bukan 153(1), tetapi kewibawaan UMNO. UMNO tidak mewakili semua orang Melayu. UMNO memang bersifat nasionalis, tetapi tidak semua orang Melayu bersifat nsionalis. Yang jelek dan jijiknya ialah nasionalisme itu boleh mendidih kepada bentuk yang berbahaya, seperti Nazi, Ku Klux Klan, Apartheid, Zionism, Serb nationalism dan lain lain bentuk nasinalisme ekstrim yang sememangnya berakhir dengan keganasan ,pergaduhan, pertelingkahan dan pelbagai konflik.
Ketuanan Melayu kalau dibiarkan akan menjurus kepada gelodak sedemikian.