Sunday, February 28, 2010

PEKERJAAN HAJI.....35

Assalamualaikum,

Kafan

Di luar Bab ul Fatah ada paip air yang mengeluarkan air zam zam. Jadi sekiranya anda hendak air zam zam, anda boleh ambil daripada paip tersebut secara percuma. Memang dahulu sebelum kerja kerja pembesaran masjid di kawasan Bab ul Fatah dilakukan, terdapat tempat mengambil air zam zam secara pukal berhampiran di situ.

Telah kerap saya perhatikan ada orang yang membasahkan kain putih dengan air zam zam. Saya tidak tahu apakah tujuan mereka melakukan perkara tersebut. Tetapi ada kawan yang giat dalam jemaah tabligh memberi tahu saya jemaah sebuah negara membuat perkara sedemikian kerana air zam zam tidak boleh dibawa masuk ke negara itu kerana air sungai sebuah sungai di sana dikatakan paling suci didunia. Maka tiada ada air lain yang patut menandinginya.

Kain yang direndam dengan air zam zam itu dikeringkan dan dibawa pulang ke negara mereka. Sampai di sana, kain itu direndam semula dalam air biasa, dan hasilnya itulah air zam zam bagi mereka.


Satu hari saya lihat dua orang perempuan merendam kain putih dengan air zam zam yang didapati daripada sebuah paip. Saya hampiri seorang daripada mereka yang saya jangka berumur sekitar 50an.

You speak english?
Yes

Why do you soak the cloth in zam zam?
To take it home and use it later as
kafan.
You know
kafan?
Yes.



Belum pun sempat saya bertanya lebih lanjut, ada seorang lelaki lain yang juga sedang mengambil air zam zam di situ memarahi perempuan tersebut kerana merendam kain putih tersebut. Katanya:

Haram!Haram!

Beberapa hari kemudian, saya lihat jemaah dari sebuah negara lain pula menjemur kain putih yang panjang di dalam masjid pada waktu lengang selepas asar yang saya faham kain tersebut juga telah direndam dengan air zam zam.