Thursday, October 23, 2008

KEGIANAN MENDAPATKAN MUSUH

Assalamualaikum,


Dalam beberapa posting yang lepas, saya telah tuliskan tentang salah satu ciri ideologi nasionalisme ialah menimbulkan rasa benci [di sini] di kalangan mereka yang beriman dengan ideologi ini, dan rasa kebencian itu diletuskan kepada mereka yang dilabel sebagai musuh. Rasa kebencian ini mesti diapikan supaya sentiasa membara, kalau ini tidak dilakukan, maka sokongan kepada pegangan ideologi ini akan luntur, dan itu mungkin menyebabkan mereka akan kalah terus dalam pilihan raya.
Untuk tujuan tersebut, mereka yang menjadi tonggak ideologi ini akan sentiasa mencari dan mencipta musuh. Dalam siri yang lepas, kita telah saksikan mereka mencipta musuh musuh baru, seperti Teresa Kok dan Raja Petra Kamarudin. Musuh musuh lama mereka nampaknya tidak lagi menjamin mereka untuk membangkit rasa benci ini, dan dengan itu mereka terpaksa beralih kepada penciptaan musuh musuh yang lebih baru.
Dalam siri terkini, Dr. Mohd Nasir Hashim, ADUN Kota Damansara sudah pun menjadi musuh baru mereka, dan mereka sedang memalu gendang untuk membangkitkan rasa kebencian ini berdasarkan kepada olah bahawa YB ini menghina Islam dan tidak tahu hukum Islam sehingga tergamak untuk mencadangkan agar wang zakat diagihkan kepada bukan Islam.
Di sini mereka cuba menonjolkan kepada umum bahawa mereka jaguh yang memperjuang, mempertahan dan memelihara kesucian dan kemurnian Islam. Itulah sifat bermuka muka yang jelas terpancar hasil daripada lakonan kebadutan mereka. Walaupun, perkara tersebut hanya timbul diperingkat paling mula, iaitu hanya satu pernyataan, dan, tambahan pula, juga ada pendapat yang memungkinkan perkara ini diterokai [lihat sini].
Tetapi disebabkan ketagihan untuk menjadi kononya champion, maka mereka terpaksa mencari dan mencipta musuh. Mereka telah sampai ke peringkat ketagihan dan kegianan musuh.
Dan adakah anda nampak wajah orang yang menjadi jagoan dalam hal ini?