Tuesday, November 25, 2008

SPR, KAU PAHAM TAK?

Assalamualaikum,


Artikel 113 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pembentuk suatu suruhanjaya pilihanraya. Tugasnya ialah: (1) Menjalankan pilihanraya. (2)menyedia dan menyemak daftar pemilih (3) mengulangkaji kawasan pilihanraya bila sampai masanya.
Tugas utama SPR ialah menjalankan pilihanraya. Bukan memenangkan BN.
SPR adalah satu badan bebas dan berwibawa, tidak dipengaruhi oleh mana mana pihak. Wibawa SPR ini hendaklah ditunjukkan kepada semua pihak yang menyertai pilihanraya, bukan hanya kepada parti bukan pemerintah, seperti yang ditunjukkan oleh SPR negara Thailand yang pernah membatalkan keputusan pilihanraya parti pemerintah kerana didapati tidak memenuhi syarat syarat SPR negara tersebut.
Di Malaysia, persepsi awam terhadap SPR adalah terlalu lekeh. SPR tidak dilihat sebagai badan yang berwibawa tetapi lebih dilihat sebagai satu badan yang kepalanya sentiasa diangguk kepada BN. Kalau persepsi awam terhadap UMNO ialah rasuah, maka untuk badan ini, yang terpahat ialah tipu.
Di sini saya ingin ajar SPR supaya mengubah doktrinnya. Ubah daripada pilihanraya BN menang kepada pilihanraya bersih, aman dan tanpa tipu.
Beberapa formula yang selama ini diguna pakai oleh SPR sekarang telah tidak releven, dan SPR perlu menggunakan formula yang memberi keadilan kepada semua rakyat Malaysia. Formula di mana peratusan pengundi pelbagai kaum yang tinggi memenangkan BN telah tidak laku. Jumlah pengundi yang menunjukkan perbezaan bilangan yang terlalu tinggi antara satu kawasan dengan kawasan yang lain perlu diperbetulkan supaya representasi menjadi lebih menyeluruh. Daftar pengundi hendaklah telus dan boleh diakses oleh semua pihak yang mengambil bahagian dalam pilihanraya. Tangan politik BN hendaklah dikerat daripada menentu nentu dan mengarah ngarah kerja kerja dalam bidang kuasa SPR. Menteri menteri besar BN yang selama ini memegang rahsia penipuan pilihanraya hendaklah dihalang secara total daripada mencampuri sebarang urusan SPR. Petugas SPR dalam pilihanraya hendaklah terdiri daripada rakyat Malaysia tanpa mengira dari parti politik mana. Hentikan amalan sekarang yang melantik dan memenuhi tenaga kerja SPR dengan ahli UMNO, wanita UMNO, tok tok UMNO, anak UMNO, cucu UMNO dan semua UMNO.
SPR akan jadi berwibawa, dihormati dan dipatuhi sekiranya ia berkelaku profesional. Paham?