Saturday, January 2, 2010

PEKERJAAN HAJI.....4

Assalamualaikum,


Jabal Rahmah


Ia adalah sebuah bukit dalam kawasan Arafah. Diberitakan kepada kita bahawa tempat pertemuan antara Adam dan Hawa apabila mereka berdua dihantar ke bumi adalah di bukit ini. Sekiranya anda wukuf di Arafah, maka pihak Tabung Haji, atau pun pihak pakej tidak menggalakkan anda merayau rayau keluar khemah. Terutamanya merayau ke Jabal Rahmah. Sebabnya ialah anda dikhuatiri sesat dan tidak bertemu kembali khemah di mana anda ditempatkan. Di sini saya setuju dengan perkara ini.

Tetapi ada juga orang yang berwukuf di atas Jabal Rahmah ini, seperti yang ditunjukkan oleh gambar ini. Gambar ini pakcik google yang beri.

Ada seorang kawan saya, semasa mengerjakan haji dalam tahun 1999, beliau telah merayau rayau ke Jabal Rahmah. Apabila beliau melihat orang lain memanjat bukit tersebut dengan bergayut dan memaut batu batu besar, beliau pun berbuat demikian. Akhirnya beliau berjaya sampai ke puncak Jabal Rahmah.

Apabila hendak turun, maka barulah beliau ternampak rupanya ada tangga yang telah sedia dibuat untuk memudahkan orang sampai ke puncak bukit tersebut. Tidak perlu bertindak seperti mujahidin afghanistan memanjat gunung untuk sampai ke puncak Jabal Rahmah.

Seperti yang disebut tadi, melakukan perkara seperti ini adalah tidak digalakkan.

Sahabat saya tersebut ialah Hj. Sulaiman, penjual rojak pasembor di restoren Amjal, KL.

Thursday, December 31, 2009

PEKERJAAN HAJI.....3

Assalamualaikum,

Wukuf

Bermaksud berada di bumi Arafah walaupun seketika bermula masuk zohor 9 Zulhijjah sehingga sebelum masuk waktu subuh 10 Zulhijjah.

Wukuf ini adalah satu masa atau satu hari yang hanya berlaku setahun sekali dan ditemui oleh mereka yang melakukan haji. Bermaksud, sekiranya dalam seumur hidup anda, anda melakukan sekali sahaja ibadat haji, maka sekali itulah anda bertemu dengan wukuf.

Hari wukuf adalah hari yang penuh dengan barakah, dan doa anda dimakbulkan oleh Allah. Berusahalah untuk berada di bumi Arafah dihari wukuf. Hari tersebut tidak akan sama nilainya dengan hari hari lain, walau bagaimana digandakan pun, namun nilai hari wukuf tidak akan dapat ditandingi oleh hari hari lain.

Saya menyeru dan berdoa kepada sahabat sahabat yang belum lagi berpeluang bertemu dengan hari wukuf, usahakan untuk menunaikan ibadat haji.


bersambung........

Tuesday, December 29, 2009

PEKERJAAN HAJI.....2

Assalamualaikum

Suasana para hujjaj selepas solat iya' sekitar Bab ul Fahd

Haji pada tahun ini yang saya dan isteri lakukan bukanlah ibadat haji kami yang pertama, tetapi setiap kali kami melakukan haji, kami mempelajari perkara baru, dan cara menyempurnakan haji yang kami lakukan juga berbeza dengan cara sebelumnya, kerana ibadat haji mempunyai beberapa cara untuk menyempurnakannya bagi memudahkan pelbagai individu yang mempunyai maslahah sendiri.

Seruan untuk mengerjakan haji ini adalah satu seruan yang agung, dan sekiranya anda terpanggil untuk menunaikan haji, walau sebagaimana kecil, halus dan seni sekali pun perasaan tersebut, pastilah anda telah menyahut seruan yang dilakukan oleh Nabi Agung Ibrahim 'alaihissalam, kerana Allah telah memerintahkan Nabi Ibrahim menyeru sekelian makhluk untuk datang ke Baitullah bagi mengerjakan haji. Apabila Nabi Ibrahim menyeru agar semua makhluk datang ke Baitullah untuk mengerjakan haji, maka seruan tersebut didengar oleh semua makhluk sehinggalah hari kiamat.

Apakah yang dilakukan bila mengerjakan haji? Pertama menunaikan rukun haji, iaitu 1. niat 2.wuquf 3.Tawaf 4. Sa'ie 5.Bercukur atau bergunting 6. Tertib pada kebanyakan rukun. Kedua, semasa mengerjakan haji itu, kita lakukan wajib haji pula, iaitu 1. berniat ihram di miqat 2. meninggalkan larangan ihram 3. mabit di Muzdalifah 4. melontar anak batu di Jamrah Kubra 5. mabit di Mina 6. melontar anak batu di tiga Jamrah, Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra.Selesai melontar



Akan sambung... insyaallah