Friday, January 29, 2010

PEKERJAAN HAJI.....23

Assalamualaikum,

Tali Pinggang Haji

Biasanya kalau anda ke Tanah Suci, samada untuk mengerjakan haji atau umrah, anda akan disyorkan menggunakan tali pinggang haji semasa memakai ihram. Gunanya tali pinggang ini ialah ia kukuh dan lebar, serta mempunyai beberapa poket berciri keselamatan untuk menjaga barang keperluan anda seperti wang atau, id, atau kad kredit. Apabila para hujaj mengenakan ihram, maka dengan memakai tali pinggang jenis ini ia akan memegang kain ihram tersebut dengan lebih kemas dan ini boleh mengelakkan si pemakai daripada terlondeh.

Ia mengingatkan saya kepada satu peristiwa semasa saya mengerjakan haji dalam tahun 1987. Semasa para jemaah sedang berada dalam masjid haram untuk menunggu solat, tiba tiba berdiri seorang lelaki menghadap para jemaah. Lelaki bukan orang Asia Timur, tetapi daripada pemerhatian saya, saya jangka dia seorang timur tengah yang non-Arab.Sambil menghadap para jemaah, lelaki ini memegang tali pinggang haji berwarna putih seperti di atas, dan, sambil bertutur dalam kata kata yang tidak saya fahami, beliau menunjukkan bahagian tali pinggang tersebut yang telah ditetas. Dari apa yang saya faham,beliau ingin menunjukkan yang beliau telah kena curi. Beliau melebarkan bahagian tali pinggang yang kena tetas tersebut untuk menunjukkan wang tiada lagi di situ.

Lelaki itu kemudian menangis, dan pada ketika itu rasa hiba menusuk ke dalam hati saya apabila melihat ramai orang menghulurkan wang kepada lelaki tersebut. Apabila lelaki tersebut lalu berhampiran dengan saya untuk memungut wang yang diajukan kepada beliau oleh para jemaah, saya pun menyeluk tali pinggang haji saya bahagian yang menyimpan duit lalu saya keluarkan sekeping wang kertas riyal. Tanpa melihat kepada wang kertas tersebut, saya lantas menghulurkannya kepada lelaki tersebut dan beliau menyambarnya.

Semasa wang kertas tersebut bertukar tangan, baru saya sedar yang wang itu adalah wang kertas 100 riyal. Saya berkata pada diri sendiri, tak mengapalah, itu dah rezeki dia.

Selang beberapa hari, saya tidak pasti samada di ruang yang sama , atau di ruang yang lain, saya nampak sekali lagi lelaki yang sama melakukan aksi yang sama.

Saya kata kepada diri sendiri; ah, terkena juga aku!



Monday, January 25, 2010

PEKERJAAN HAJI.....22

Assalamualaikum,

Memilih Solat di Lobby Hotel , Tidak Memilih Solat di Masjidil Haram

Menunggu untuk Solat di Dataran Masjid


Riwayat daripada Hassan Basri r.a. : Bahawa puasa sehari dalam negeri Makkah dibalas dengan seratus ribu hari dan sadaqah satu dirham itu dibalas dengan seratus ribu dirham dan demikian lagi segala kebajikan didalam negeri Makkah dibalas dengan seratus ribu.

Riwayat daripada Saidina 'Abdullah bin 'Abbas r.a., daripada Nabi s.a.w. telah bersabda ia bermula sembahyang di dalam Masjidil Medina itu dibalas dengan sepuluh ribu sembahyang, dan sembahyang di dalam Masjidil Aqsa dibalas dengan seribu sembahyang, dan sembahyang di dalam Masjidil Haram dibalas dengan seratus ribu sembahyang. [dipetik daripada SirasSalikin, oleh Syeikh 'Abdul Samad Al Falembani]

Pada musim haji yang baru lepas ini di banyak maktab, atau hotel tempat kediaman jemaah haji Malaysia ditampalkan poster yang memfatwakan bahawa bersolat di mana mana sahaja di Tanah Haram mendapat ganjaran seratus ribu sembahyang.

Fatwa ini telah dijadikan alasan oleh ramai jemaah haji yang tidak pergi sembahyang di Masjidil Haram, tetapi sebaliknya bersembahyang di lobby hotel. Oleh itu ada maktab maktab yang lobby penuh sesak dengan para jemaah haji bersolat.

Sekiranya sesorang itu mempunyai alasan atau uzur syar'ie untuk tidak ke Masjidil Haram, itu mudah difahami. Tetapi sekiranya seseorang jemaah itu boleh berjalan sebegitu jauh untuk tujuan bershopping, tetapi tidak mampu untuk ke Masjidil Haram, saya berpendapat itu adalah amat malang sekali.

Pada satu hari dalam musim haji yang lepas, saya telah kelambatan untuk ke Masjidil Haram. Semasa di dalam lif, terdapat dua orang perempuan yang saya kira telah berumur 50an yang pada kiraan saya tidak akan mampu untuk mengejar solat di Masjid memandangkan jarak ke masjid jauh sekali.

Saya bertanya kepada salah seorang mereka, solat di lobby hotel ke, dia jawab tidak, solat di Masjid Kucing. Dia memberi tahu bahawa kakinya telah capik untuk berjalan begitu jauh ke masjid.

Kalau kes seperti ini kita boleh faham. Tetapi kalau segar bugar dan begitu bertenaga untuk bershopping, kenapa nak solat di Masjid Kucing juga?
Masjid Kucing

Pada perkiraan saya jarak antara Masjid Kucing ini dengan pintu terdekat Masjidil Haram, iaitu pintu Marwah ialah 1000m atau 1 km.

Bagi sebahagian jemaah haji, kalau begitu jauh, baiklah aku solat di lobby hotel atau di Masjid Kucing ini.




Sunday, January 24, 2010

PEKERJAAN HAJI.....21

Assalamualaikum,

Sembahyang berjemaah
Suatu perkara yang anda perlu ambil perhatian sekiranya anda ingin mengerjakan haji ialah, anda akan lakukan perkara yang anda 'asyikkan di negara sendiri setibanya anda di Tanah Suci.

Apa pula maksud pak haji ni?

Macam ni: Kalau sekiranya anda mengasyikkan atau melazimkan ke kedai kopi dan menghabiskan masa berjam jam di sana, maka itulah juga yang anda akan lakukan di Tanah Suci. Kalau anda jenis merewang rewang dan berjalan jalan tidak ketahuan arah, maka itu juga yang anda lakukan semasa di tanah suci. Kalau selalu buat perkara yang fahsya' dan mungkar?

Tetapi kalau anda telah melazimkan diri dengan beramal ibadat, berzikir, membaca qur'an dan lain lain. Maka apabila anda berada di Tanah Suci, anda tidak akan lagi berasa janggal untuk melakukan perkara sedemikian, kerana anda telah terlazim dan itulah yang anda 'asyikkan.

Salah satu daripada perkara besar dalam pekerjaan haji dan umrah ialah kita bersembahyang berjemaah dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Sekiranya semasa di tanah air, anda telah mengasyikkan diri dengan sembahyang berjemaah, anda telah terbiasa berjalan kaki ke masjid atau ke surau, maka apabila anda berada di Tanah Suci, anda tidak akan lagi janggal dengan pekerjaan ini.

Tetapi sekiranya selama 50 tahun kaki anda dipacu untuk menapak ke kedai kopi untuk mengetir, maka amat berat nanti akan anda terasa untuk memacu kaki anda menapak ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Sedangkan anda telah berbelanja beribu ribu ringgit untuk ke Tanah Suci.

Pada pendapat saya, amat malang sekiranya seseorang itu telah sampai ke Tanah Suci, tetapi kakinya tidak mampu untuk membawanya menapak ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Melainkan anda ada uzur syar'ie.

Ditambah lagi dengan perancangan pihak berkuasa di sana yang memperluaskan kawasan masjid, kawasan penginapan jemaah haji tidak lagi berdekatan dengan masjid. Ia sekarang ini jauh. Tempat Hajjah berdiri dalam gambar di atas pada perkiraan saya adalah sekitar 800m ke pintu masjid. Hotel di mana Hajjah tersebut, dan Tuan Haji ini tinggal adalah 1 km lagi di celah celah lorong di sana. Jadi anda boleh totalkan jarak untuk pergi ke masjid. Kemudian darab 2 kerana menapak pulang ke hotel.

Sekiranya anda pergi ke masjid sebanyak lima kai sehari, kiralah berapakah jumlah km yang telah anda menapak.
Perhatikan gambar di atas. Di sana terdapat 3 terowong yang dilalui oleh jemaah haji sekiranya mereka hendak ke Masjidil Haram. Jemaah yang berarus arus memasuki terowong tersebut tinggal di sebalik bukit sana. Dan penempatan sedemikian sekarang dikira dekat dengan masjid.
Bayangkan perjalanan mereka ke masjid.

Jadi sekiranya anda pergi ke Tanah Suci tanpa meng'asyikkan terlebih dahulu dengan beribadat terutamanya sembahyang berjemaah, maka pekerjaan haji akan menjadi satu penyiksaan. Akan menjadi sesuatu yang menyukarkan. Akan menjadi sesuatu yang memeritkan. Memenatkan.

Mungkin ada yang terfikir, lebih baik aku mengetir di kedai dekat hotel daripada menyusahkan diri pergi masjid.

Sini pun boleh sembahyang gek!