Saturday, February 6, 2010

PEKERJAAN HAJI.....28

Assalamualaikum,

Duit

Orang Malaysia kata duit, orang Indon bilang uang, pak arab kata fulus. Tetapi semuanya bermaksud sama. Sekirnya anda hendak mengerjakan haji, antara perkara yang anda perlu ada ialah duit.

Biasanya kalau anda mengerjakan haji, anda akan perlu membelanjakan sejumlah wang. Bagi sesetengah orang, jumlah ini adalah besar. Pada setengah orang yang lain pula, jumlah ini tidak tercapai walaupun menabung seumur hidup.

Bagi orang yang belum lagi menunaikan haji, sering kita dengar antara sebab yang menghalangnya daripada menunaikan haji ialah duit. Tak ada duit, katanya.

Mungkin bagi sesetengah orang, alasan ini adalah betul, ikhlas dan sungguh.

Tetapi kalau anda yang membaca posting ini belum lagi menunaikan haji, adakah wang itu yang menjadi penghalang bagi anda untuk mendaftarkan diri menunaikan haji? Betulkan anda tidak punya wang?

Dalam tahun 1984, saya menghantar nenek saya menunaikan haji. Bersama dengan nenek saya ini ialah seorang wargamas dari kalangan sedara mara juga yang di kenali sebagai Nek Minah. Beliau adalah seorang janda tua , orang kampung yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap. Tetapi beliau mempunyai kemahiran mengurut.

Dengan mengurut, beliau dapat upah. Biasanya upah mengurut ialah RM1.00 sekali urut. Itulah rate di kampung. Tetapi dengan upah mengurut yang sedemikian, beliau dapat membuat badal haji untuk almarhum suaminya, dan juga kedua ibu bapanya.

Bila kesemuanya telah dihajikan, beliau pula bersedia untuk menunaikan haji pula, walaupun pada usia yang sangat lanjut. Belanja untuk pekerjaan haji beliau adalah hasil jerih beliau mengurut. Allah teramat sayang kepada beliau kerana telah dijemput menemui Allah di Mina semasa dalam pekerjaan haji.

Seorang lagi yang saya temui ialah Wak Marjan. Saya rasa beliau adalah buruh kasar di sebuah IPTA pada masa itu. Dengan pendapatannya sebagai buruh kasar, beliau bukan sahaja mampu menyara keluarganya secara ala kadar, tetapi dapat menunaikan haji. Beliau menceritakan, apabila beliau berniat sahaja untuk mengerjakanhaji, tidak lama selepas itu duit datang daripada punca punca yang tidak beliau jangka.

Dan ada banyak lagi cerita yang boleh diceritakan mengenai orang yang pada luarnya memang tidak punya duit untuk menunaikan haji, tetapi apabila telah berhasrat untuk menunaikan haji, maka dengan izin Allah dapat dia menunaikan haji.

Bagaimana dengan anda yang gaji beribu ribu. Ada rumah, ada kereta dua tiga biji, ada tv latest model, laptop lima enam belas dalam rumah, tetapi hati anda tidak terpanggil untuk menunaikan haji.

Bila tanya kenapa tak pergi haji? Duit tak ada!

Jangan sekali kali anda beri alasan duit tidak ada apabila dikaitkan dengan pekerjaan haji.

Nanti sepanjang hayat anda tidak akan cukup duit.

Thursday, February 4, 2010

PEKERJAAN HAJI.....27

Assalamualaikum,

Hijr Ismail

Yang dimaksudkan dengan Hijr Ismail ialah satu kawasan ditepi kaabah yang dikepungi oleh satu lengkuk separa bulat di bahagian utaranya. Bentuk sekarang ialah ditepi kaabah terdapat satu binaan yang melengkuk, dan terdapat ruang antara dinding kaabah dengan lengkuk ini. Dalam gambar di atas lengkuk tersebut dapat dilihat berwarna putih.

Keadaan Hijr Ismail sekarang ialah ia terpisah daripada binaan kaabah. Pada zaman Nabi Ibrahim, Hijr Ismail ini adalah tempat berteduh baginda dan tempat ternakan Nabi Ismail, dan ia bersambung dengan kaabah.

Apabila kaum Quraisy membuat renovasi terhadap kaabah yang telah rosak disebabkan banjir, saiz kaabah telah dikecilkan, kerana mereka kekurangan dana daripada sumber yang halal. Oleh itu, sebahagian daripada Hijr Ismail ini telah terpisah daripada binaan kaabah yang asal. Walau bagaimana pun, bahagian yang terpisah ini dikira dalam kaabah juga.

Oleh itu, sekiranya anda tidak dapat sembahyang di dalam kaabah, maka sembahyang dalam kawasan Hijr Ismail juga adalah sembahyang dalam kaabah.

Mencari peluang untuk berada dalam Hijr Ismail

Hijr Ismail adalah satu lokasi yang sentiasa menjadi rebutan oleh para jemaah, samada untuk solat, berdoa, mengadu kepada Allah, atau apa jua ibadat lain. Sekiranya anda dapat berada dalam Hijr Ismail, dan dapat solat sambil bersiri sahaja, itu pun sudah mencukupi. Apatah lagi kalau anda dapat solat dalam pergerakan seperti biasa, itu adalah terlebih baik lagi.

Diberitahu kepada kita bahawa doa di Hijr Ismail ini mustajab, sebab itulah orang berebut rebut untuk solat di sana.

Ada petua yang diberikan kepada saya bagaimana untuk solat di Hijr Ismail. Caranya ialah anda hampiri laluan masuk ke Hijr Ismail. Berdiri sahaja di situ. Jangan tolak orang lain. Berdiri dan tunggu. Nanti akan ada orang lain yang tolak anda sehingga anda termasuk dalam Hijr Ismail.

Bila sudah masuk, solat segera, selesai salam, segeralah tinggalkan ruang tersebut, sebab orang lain sedang menunggu anda mengosongkannya.

Nak cuba petua ini?

Tuesday, February 2, 2010

PEKERJAAN HAJI.....26

Assalamualaikum,

Hajarul Aswad

Sekiranya anda mendengar cerita cerita daripada mereka yang kembali daripada haji atau umrah, kemungkinan besar anda akan terdengar cerita mengkucup hajaral aswad. Apakah itu hajaral aswad?

Ia adalah batu berwarna hitam yang terletak di satu penjuru kaabah berdekatan dengan pintu kaabah. Ia adalah penanda bagi memulakan tawaf. Tingginya daripada permukaan tempat tawaf adalah sekitar 1.5m.

Mengikut sejarah, batu ini adalah batu yaqut dari syurga yang asalnya berwarna putih berkilauan. Kilau ini telah dihlangkan oleh Allah, manakala warna putihnya bertukar kepada hitam terkesan dengan dosa dosa yang dilakukan oleh manusia.

Ketika Nabi Ibrahim meminta puteranya Nabi Ismail a.s. mencari batu dari Jabal Abi Qubais di Makkah sebagai penanda permulaan tawaf, malaikat Jibril telah datang kepada baginda dengan membawa batu ini sebagai memenuhi maksud tersebut.

Asalnya batu ini adalah seketul, tetapi telah pecah kepada 8 serpihan yang mana serpihan terbesar bersaiz seperti sebiji tamar. Serpihan ini telah dilekatkan menggunakan damar dan diletakkan dengan satu pengikat yang dibuat daripada perak.

Hukum mengucup hajaral aswad adalah sunat bagi lelaki dan harus bagi perempuan.
[Ibadat Haji , Umrah dan Ziarah: Lembaga Tabung Haji, 2009]

Saidina Omar

Dalam Hadis dinyatakan bahawa Saidina Omar berkata kepada hajaral aswad, kamu adalah batu, kalaulah tidak aku melihat Nabi s.a.w. mengucupmu, aku tidak akan mengucup mu.

Ada orang beritahu saya pintu syurga tidak akan ditutup selagi semua orang yang pernah mengucup hajaral aswad ini telah masuk ke dalam syurga. Puas saya cari hadis ini tetapi tidak berjumpa.

Perihal mengucup hajaral aswad

Semasa saya mengerjakan umrah dalam tahun 1982, saya rasa teramat senang untuk mengucup hajaral aswad. Setiap kali tawaf, saya dapat mengucup hajaral aswad. Selesai 2 set tawaf saya telah mengucupnya 14 kali.

Tetapi tahun tahun berikutnya percubaan untuk mengucup batu ini menjadi semakin sukar, sehingga sesiapa yang berkeras keras, bertolak tolak tolak, himpit menghimpit, besar kemungkinan terlepas pahala sunat, tetapi dapat dosa pula kerana berlaku kasar dan mementingkan diri sendiri.

Semasa saya menunaikan umrah 1993, seorang teman sebilik,bekas tentera, akan berdoa dulu sebelum membuat percubaan mengucup, dan kemudian meluru dan merempuh barisan orang yang bertungkus lumus untuk mendapat giliran. Dia dapat mengucup, tetapi orang lain lintang pukang disebabkannya.

Dalam tahun 2008, anak saya Muhammad Basyir cuba bersendirian untuk mengucup hajaral aswad. Dalam berasak asak itu dia telah dipelawa oleh lelaki yang bertutur cara Indon untuk ditolongi mengucup. Akhirnya anak saya berjaya untuk mengucupnya. Dia kemudian dibawa oleh lelaki ini keluar, dan di situ juga lelaki tersebut meminta bayaran. Anak saya terpinga tetapi akhirnya bayar juga SR 50.

Ada orang beritahu saya, kalau hendak mengucup hajaral aswad, berdoalah untuk dapat kucup, dan jangan lupa juga berdoa untuk dipermudahkan keluar daripada kesesakan di situ.
Ada juga orang beritahu saya, sekiranya perempuan ingin mencium hajaral aswad, cara yang dilakukan ialah pergi ke pak guard yang tercegat di situ seperti dalam gambar di atas. Pegang kaki seluar pak guard tersebut, goyang kuat kuat sambil berkata hajaral aswad, hajaral aswad. Bila pak guard tu tidak tahan lagi, dia akan hentikan asakan orang ramai, dan bawa perempuan tu mencium hajaral aswad.

Kau nak cuba, cuba la.

Monday, February 1, 2010

PEKERJAAN HAJI.....25

Assalamualaikum,

Kerusiroda
Kerusi roda selalunya diperlukan oleh mereka terhad moboliti mereka, atau mudah penat, atau uzur. Dalam pekerjaan haji, ada kalanya kerusi roda ini menjadi alat yang penting bagi sesetengah jemaah haji.

Bagi jemaah yang langsung tidak punya mobiliti, maka keperluan kepada kerusi roda ini menjadi 100%, dan penggunaannya tidak dapat dielakkan. Bagi jemaah yang dalam kategori ini, perlulah ada orang yang membantu menolak kerusi roda tersebut.


Bagi jemaah wargamas yang senior, kerap mereka merasa kepenatan, capik, sakit kaki dan kurang nafas untuk mengerjakan pekerjaan haji tanpa bantuan kerusi roda. Oleh itu, walaupun semasa mula berangkat dari Malaysia mereka yang dalam kategori ini tidak menyediakan kerusi roda, tetapi apabila berada di Tanah Suci, keperluan kepada kereta roda ini menjadi kemestian.

Kadang kadang jemaah yang datang mengerjakan haji itu sihat pada mulanya, tetapi apabila berada di Tanah Suci, mereka jatuh sakit dan memerlukan kerusi roda. Golongan ini tidak ada kategori umur padanya.

Kerusi roda diperlukan oleh mereka yang menggunakannya untuk bertawaf dan sa'ie. Juga untuk ulang alik ke masjid.Tetapi ada juga yang menggunakannya sebagai bantal!




Sunday, January 31, 2010

PEKERJAAN HAJI.....24

Assalamualaikum,

Menunggu solat magrib didataran yang dalam pembinaan



Melepak di dataran baru


Ada yang menggantungkan barang kepunyaan di railing jambatan masjid


Aku kena hujan di Makkah. Di belakang tu Masjid Kucing


Jangan buat macam ni. Bahaya. Walaupun nak ke Arafah
Deretan kereta tolak menunggu customer; bagi yang memerlukannya, dikenakan bayaran