Thursday, February 11, 2010

PEKERJAAN HAJI.....30

Assalamualaikum,

Maqam Ibrahim



Al-Maqam bererti tempat kaki berpijak. Maqam Ibrahim adalah satu batu yang dibawa oleh Nabi Ismail a.s. ketika membina kaabah yang digunakan untuk berdiri oleh Nabi Ibrahim a.s.

Di atas batu itulah Nabi Ibrahim membina kaabah dengan tangannya sendiri dengan menggunakan batu batu yang didatangkan oleh Nabi Ismail a.s. Setiap kali binaan tersebut bertambah ketinggiannya, batu tempat Nabi ibrahim berpijak ini ikut bertambah ketinggiannya.




وَٱتَّخِذُواْ مِن مَّقَامِ إِبۡرَٲهِـۧمَ مُصَلًّ۬ى

Dan Jadikanlah sebahagian maqam Ibrahim tempat solat (2:125)


Keutamaan maqam Ibrahim ialah ia menjadi tempat solat seperti dalam ayat di atas.Juga diriyatwatkan dari jabir r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. ketika sampai di Kaabah, beliau langsung mencium Hajar Aswad, kemudian berlari lari kecil 3 pusingan, dan selebih 4 putaran berjalan biasa. Lalu beliau ke Maqam Ibrahim lalu membaca [Dan jadikanlah sebahagian maqam Ibrahim tempat solat] dan menjadikannya berada diantara dirinya dan kaabah.

Maqam Ibrahim adalah batu dari syurga sebagaimana yang tersebut dalam hadis Rasullullah bersabda bahawa Hajar Aswad dan Maqam Ibrahim adalah batu batuan dari syurga, seandainya Allah tidak melenyapkan cahayanya, nescaya ia akan menerangi timur dan barat.

Di Maqam Ibrahim ini adalah salah satu daripada tempat tempat yang mustajab doa. Di tahun tahun peringkat awal saya menunaikan umrah, saya sering solat di sekitar Maqam Ibrahim ini, dengan harapan apa yang saya doakan di situ segera di maqbulkan oleh Allah.

Tetapi saya perasan iaitu setiap kali saya solat di tempat tempat yang hampir dengan mMqam Ibrahim ini saya akan dimarahi oleh jemaah haji yang lain. Pada mulanya saya tidak tahu kenapa, sehinggalah ketika saya tawaf di masa yang lain saya dapati bahawa pergerakan tawaf saya terhalang oleh mereka yang solat berhampiran dengan Maqam Ibrahim.

Selepas daripada itu barulah saya tahu bahawa sekiranya kita solat sekitar Maqam Ibrahim, terutamanya sekitar laluan orang tawaf, maka kita sebenarnya menghalang orang bertawaf. Oleh itu, solatlah ditempat yang tidak menghalang pekerja haji dan ibadat orang lain.

Juga sekiranya anda lihat orang mengucup ngucup dan menggosok gosok kandang Maqam Ibrahim tersebut, anda tidak perlulah buat perkara yang sama.






kawasan sekitar Maqam Ibrahim memang sentiasa penuh sesak






Sunday, February 7, 2010

PEKERJAAN HAJI.....29

Assalamualaikum,

Aku Terasa Sangatlah Hiba

Apabila sesoerang itu mengerjakan haji atau umrah, biasanya kita ingin menjadikan ibadat kita itu secantik yang mungkin dan seikhlas yang mungkin. Pada masa itu juga kebanyakan para jemaah menjadi manusia yang extra baik. Perangai baik dan hati pun baik.

Pada masa itu kebanyakan daripda kita menjadi pemurah, almaklumlah, satu kebajikan di Tanah Suci digandakan dengan 100,000 kebajikan. Ramai diantara kita yang tercari cari kalau kalau ada tempat yang boleh kita bersedeqah. Kalau di negara kita, masjid masjid dan surau surau menyediakan tong atau peti bersedeqah, tetapi di Masjidil Haram, tong atau peti seperti tidak ada.

Maka pada ketika itu, sekiranya ada tempat untuk kita bersedeqah, maka dengan penuh rela dan dengan bersegera kita menghulurkan sedeqah. Rasa hati ini rupanya dibaca dan diketahui oleh orang lain . Oleh itu dalam perjalanan dari hotel ke Masjidil Haram, anda berkemungkinan besar bertembung dengan deretan peminta sedeqah.

Saya perhatikan peminta sedeqah ini terdiri daripada mereka yang cacat anggota badan, terutamanya anggota kaki atau tangan. Juga kecacatan yang berlaku pada mereka adalah kecacatan yang pelik, menggerunkan dan jarang sekali kita bertemu dengannya.

Tetapi dalam musim haji yang lepas, jemaah haji boleh saksikan mereka yang meminta sedeqah ini mempamirkan kecacatan seperti yang ditunjukkan oleh gambar di atas. Semasa melihat kecacatan ini pada kali pertama, hati saya menjadi tersangatlah hiba. Saya pun bersegera menghulurkan sedeqah kepada insan tersebut.

Kemudian saya perhatikan selang 1 atau 2 meter dibelakang peminta ini, ada peminta sedeqah lain yang mempamirkan kecacatan yang sama. Kemudian di belakangnya ada lagi. Kemudian ada lagi. Kemudian ada lagi. Ada lagi dan ada lagi.

Beberapa hari kemudian saya saksikan seorang jemaah bukan orang Malaysia memegang bahagian tangan salah seorang peminta sedeqah ini, dan peminta sedeqah tersebut meronta serta mengeluarkan kata kata yang tidak saya fahami serta tiba tiba muncul seorang yang cukup sifatnya memarahi orang tadi. Daripada insiden tersebut saya faham bahawa peminta sedeqah tersebut tidak mahu orang lain memeriksa kesahihan kecacatan dia.

Apa yang anda boleh tafsirkan daripada peristiwa ini?