Friday, April 18, 2008

CLIMATE CHANGE

Climate change adalah perubahan iklim. Ia adalah satu keadaan di mana iklim dunia kita ini berubah daripada pola biasanya. Apakah maksudnya di sini? ia bermakna salah satu unsur penting iklim mengalami perubahan, dan secara mudahnya ialah unsur suhu bertambah. ini bermakna dunia menjadi semakin panas.
Bagaimana ia terjadi? Ia terjadi kerana terdapat gas-gas yang dilepaskan ke atmosfera tidak lupus dan menjadi terampai di sana. Ini pula akan menyebabkan bahang suria yang masuk ke atmosfera bumi berjaya menembusinya, kerana ia bersifat shortwave, tetapi dalam perjalanan pantulan semula ke atmosfera ia tidak berjaya melepasi lapisan gas-gas ini, kerana pantulan tersebut bersifat longwave.
Jadi bahang tadi terperangkap di atmosfera, sama seperti keadaan sebuah rumah kaca atau green house. Gas-gas yang bertanggung jawab ialah karbon dioksida, methane, nitrous oksida, CFC, dan beberapa gas lain lagi. Tetapi CO2 lah yang paling bertanggung jawab menghasilkan kesan rumah hijau ini.
Aktiviti manusialah yang paling banyak melepaskan CO2 ke atmosfera, seperti misalnya kesan daripada pembakaran petrol oleh kenderaan.
Benarkah dunia semakin panas? Ya. Kalau anda pergi downtown KL (saya ambil Jalan Tuanku Abd. Rahman)waktu tengahari sekitar Jam 3:00 petang pada hari bercuaca panas, 20 tahun dulu suhunya ialah 33 oC, tetapi sekarang 34 oC.
Apa implikasinya? Pelbagai. (1) pola hujan berubah- kelmarin(16/4/08) banjir di Kuala Lumpur dan Temiang, Seremban. Januari 2007, Johor banjir besar (2)Ini juga boleh mengakibatkan kemarau, seperti Mei-Okt 2005, Seremban di catu air. (3)Ini akan menyebabkan pula penyakit yang berkaitan dengan hujan turun meningkat, seperti denggi. (4) Sumber air akan terjejas (5) adalah kawasan yang mungkin ditengelami air(6) penghasilan bahan tani akan terjejas (7)Penghasilan bahan perikanan akan terjejas. Dan pelbagai masalah lain yang akan timbul.
Apakah langkah yang telah diambil atau dirancang oleh negara untuk menghadapi masalah yang sudah pasti datang ini? Inilah antara isu yang akan dibawa oleh ahli parlimen PR dalam sidang akan dtang.

TUN SALLEH ABAS

Syukur Alhamdulillah Tun Salleh Abas dan kawan-kawan bekas hakim bersama beliau telah akhirnya diberi pengiktirafan bahawa tindakan yang dilakukan oleh regim Mahathir kepada mereka adalah salah. Hakim-hakim yang telah teraniaya tersebut walaupun tidak dibersihkan nama mereka melallui proses undang-undang, namum yang haq telah diberi kemenangan akhirnya.


Ini adalah salah satu daripada buah kemenangan yang rakyat cetak dan paksakan kepada pemerintah untuk mereka lakukan. Kalau sekiranya BN menang besar dalam PRU12 yang lepas, jangan harap perkara-perkara seperti ini boleh berlaku.


Ini juga akan menjadi tamparan politik yang hebat kepada Mahathir, yang sudah tentu tidak akan berdiam diri dalam keadaannya sekarang ditindih ke bawah. Ini dengan sendiri akan menyemarakkan lagi percakaran dalam parti tersebut.


Apa yang rakyat perlu disedarkan ialah apabila mereka berani membuat perubahan secara politik melalui pilihanraya, bukan sahaja kedudukan kerusi parlimen dan DUN berubah, tetapi kesejahteraan kita juga turut meningkat. Sekarang kerajaan Malaysia sanggup memberi subsidi minyak sebanyak 19 bilion ringgit. Boleh pula meningkatkan umur persaraan, yang dulunya digembar gemburkan kerajaan tak mampu bayar, tetapi bila telah diajar melalui pilihanraya, mampu pula bayar.


Sekiranya rakyat ingin keselesaan yang lebih tinggi lagi, perubahan politik yang lebih besar lagi perlu dilakukan. visit hamirdin.blogspot.com

Thursday, April 17, 2008

PENCEN DAN KENAIKAN HARGA BERAS

Saya telah pun mencapai umur bersara dan telah pun menerima pencen bulanan saya yang pertama. Memang begitu, saya telah bekhidmat untuk negara lebih 30 tahun, dan setelah tahun-tahun perkhidmatan selesai, saya bersara dan menerima pencen. Dalam kata-kata biasa, orang mengatakan kakitangan kerajaan memanglah dapat pencen.
Dalam satu ceramah sekitar 1999 di Sungai Besar , Selangor, tempat yang banyak menghasilkan beras kepada negara, saya pernah bertanyakan kepada pendengar ceramah tersebut, yang rata-ratanya terdiri daripada penanam padi, adakah mereka yang dulunya bekerja sebagai penanam padi, tetapi sekarang ini tidak lagi mempunyai kekuatan fizikal untuk meneruskan usaha tersebut, mempunyai pencen.
Begitu juga dengan ibu saya. Begitu juga dengan arwah nenek saya, dan ramai lagi dari keluarga saya yang pernah bekerja sebagai penoreh getah, adakah setelah mereka tidak mempunyai kekuatan fizikal lagi untuk menoreh getah, mereka diberi pencen?
Begitu juga dengan para nelayan. Begitu juga dengan pekerja ladang kelapa sawit. Begitu juga dengan pelbagai bidang kerja yang lain. Apakah bentuk bantuan secara berterusan yang mereka terima setelah kekuatan fizikal mereka tidak mengizinkan mereka menyumbang kepada pembangunan negara?
Dengan kenaikan harga beras sekarang ini, apakah bentuk limpahan pendapatan tambahan yang diterima oleh petani-petani kita? Jawapannya ilah tiada.
Semasa ceramah tersebut, saya beritau pendengar, bahawa kerja menanam padi adalah satu pekerjaan yang sangat mulia, kerana ia menyediakan bahan makanan penting kepada rakyat. Ia bukanlah satu pekerjaan yang hina. Begitu juga dengan penoreh getah. Pekerjaan mereka adalah satu pekerjaan yang sangat mulia kerana mereka menyumbang kepada pendapatan negara dan dengan itu sama-sama membantu pembangunan negara. Begitu juga dengan pengait kelapa sawit. Begitu juga dengan para nelayan, dan seterusnya. Semua pekerjaan mereka adalah pekerjaan yang sangat mulia yang telah sama-sama menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara. Tetapi mengapakah orang yang telah menyumbang kepada pembangunan negara ini, dikala mereka sangat memerlukan kewangan setelah puas membanting tulang untuk memajukan negara, tidak diendahkan langsung? Adakah pekerjaan mereka hina berbanding dengan orang yang bekerja di ofis?
Yang jelas, selama 50 tahun, golongan ini tidak mempunyai sebarang bentuk social security yang disediakan oleh negara. Mereka disuruh membanting tulang untuk negara, tetapi apabila mereka telah tua, negara tidak memperdulikan mereka.
Seharusnya, mereka juga diberikan jaminan keselesaan hidup setelah mereka berjerih membangun negara secara berterusan, dan ditanggung oleh negara.

Wednesday, April 16, 2008

KETUANAN MELAYU

Semasa saya belajar diperingkat menengah rendah di Melaka, saya terasa semacam inferiority complex terhadap pelajar-pelajar dari bangsa Cina terutamanya, kerana saya berasal dari keluarga yang sangat miskin dan terlalu mundur dari segi material. Walaupun pada masa itu saya boleh mengatasi sebahagian besar pelajar Cina dari segi akademik, namun dari segi material dan sedikit sebanyak kebolehan lain, saya memang terasa sedikit inferior. Apabila saya memasuki Malay College Kuala Kangsar, persepsi ini berubah, kerana di sana Orang Melayu, atau pelajar Melayu setanding, kalau tidak pun mengatasi pelajar dari semua kaum. Di sana saya mula merasai bahawa orang Melayu sebenarnya boleh bergerak sederap dengan bangsa-bangsa lain, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di dunia.




Apabila saya memasuki Universiti Malaya, dan mengambil beberapa kursus yang berkaitan dengan Melayu, sikap enthocentrism mula meresap, dan saya juga tidak mempertikaikan kejagohan UMNO dalam hal ini. Cuma saya rasa agak kaget apabila di common room Kolej Ke 5, diwaktu menonton berita, saya lihat Hishamudin Rais sering mengutuk berita yang disampaikan. ini adalah satu pengalaman baru bagi saya, sebab, sebagai anak kampung, tidak pernah pun saya dan masyarakat kampung saya mempertikaikan berita yang dikeluarkan di tv.




Apabila saya menjadi pensyarah di Universiti Malaya dan berkawan dengan pensyarah-pensyarah Melayu yang lain, sifat enthnocentrism itu bertukar kepada racism, iaitu rasa mengagungkan Melayu saya walau apa pun. Juga saya rasa ramai orang Melayu mempunyai sikap ini, iaitu my race, right or wrong. Sebab itulah, kalau ada pemimpin politik Melayu dari parti UMNO yang melakukan kesalahan undang-undang, palingkuat tindakan mungkin ia tidak dicalonkan lagi, dan bukan diadili oleh mahkamah.


Semasa saya mengikuti program PhD di USA, saya berkawan dengan mereka yang ada latar belakang perjuangan Islam. Di masa itu saya mengenali Islam dengan lebih mendalam, dan saya kemudiannya faham bahawa Islam tidak mengagungkan bangsa, puak atau suku, tetapi ketaqwaan sesorang itu kepada Allah. Jadi kita tidak benci sesorang itu kerana ia Cina, atau India, dan kita tidak bersikap mesti menyebelahi sesorang itu kerana dia Melayu. Yang salah di sisi undang-undang tetap salah, walau apa pun bangsanya.

Islam membebaskan kita dari menjadi racist. Ramai daripada mereka yang memperjuangkan ketuanan Melayu adalah mereka yang racist. Mereka akan melaungkan ketuanan Melayu walaupun yang menjadi ketua itu orang yang zalim, korup, mendiskriminasi, mencuri, merompak, menyokong ISA dan sebagainya. Asalkan Melayu berkuasa, semuanya dimaafkan.


Perlu diingatkan kepada puak ini, pemikiran yang sedemikian adalah pemikiran yang songsang, dan telah ditolak oleh rakyat dalam PRU12 yang baru lepas. Semua bangsa di negara ini setuju agar orang Melayu menerajui pemerintahan, tetapi kepentingan semua kaum dan kumpulan etnik tetap dijaga. Mereka juga tidak mahu Melayu yang korup, membolot harta negara, angkuh dan tamak terus menguasai Malaysia.


Itulah mesej rakyat Malysia kepada Kongres Permuafakatan Melayu di Johor Bharu pada 2 dan 3 Mei ini .




Tuesday, April 15, 2008

MEROBOHKAN SURAU

Saya kira sekitar 10 Mac 2003 surau Jublee Perak, Bandar Baru Bangi, Selangor, telah dirobohkan oleh pekerja Majlis Perbandaran Kajang dengan dibantu oleh pelbagai paraphenalia pihak berkuasa tempatan tersebut. Kami yang memakmurkan surau tersebut berasa sangat sayu dan marah atas perbuatan kurang ajar dan kejam tersebut. Tetapi oleh kerana kami tidak mempunyai apa-apa kuasa, maka yang mampu kami lakukan ialah berunding dan kemudian memerhatikan sahaja sedikit demi sedikit bahagian surau tersebut dirobek dan dihancurkan oleh mereka. Saya menangis, kami menangis, semau maunya, kerana berasa amat sedih sebuah rumah Allah disembamkan oleh mereka yang mempunyai kuasa dengan begitu rakus. Saya memeluk saudara Sameon, yang juga pengerusi surau tersebut dan kami berdua menangis semau maunya sambil berpelukan.
Semuanya selesai dalam masa lebih kurang 1 jam. Pedih hati kami seperti luka sebuah turisan dan anggota badan yang diperahkan limau padanya. Kami tau, yang mengarahkan perkara jijik tersebut dilakukan ialah pihak paling tinggi sekali di Selangor pada ketika itu. Apa yang kami lakukan selepas itu hanyalah berdoa kepada Allah subhanawataala.
Kami terus berdoa mengenai kezaliman yang dilakukan itu. Saya tau ada sahabat yang terus menerus sembahyang hajat malam demi malam memohon bantuan Allah. Saya tahu ada sahabat yang berdoa di hadapan Kaabah agar Allah mendatangkan balasannya kepada mereka yang bertanggung jawab merobohkan rumah Allah. Dan doa ini diulang dan diulang. Yang pergi ke kaabah silih berganti, tapi doa tersebut tetap diulang dan diulang.
Dan tanda-tanda Allah mengkabulkan doa kami telah nampak. Orang yang paling berkuasa di Selangor pada ketika itu sekarang ini telah tumbang dalam keadaan hina. Dan ini adalah permulaan kepada satu kesudahan. Sesuatu yang lebih perit dan lebih hina mungkin sedang disediakan Allah untuk anda.

ANTARA BABI DAN KHINZIR

Semasa krisis penyakit Japanese Encephalitis (JE) di Malaysia dalam tahun 1998, media arus perdana pada masa itu menggunakan istilah khinzir untuk membawa maksud haiwan yang kita kenali sebagai babi. Istilah tersebut digunakan bertujuan untuk melembutkan impak negatif yang akan tertanam dibenak rakyat Malaysia sekiranya istilah babi digunakan, dan ini akan mendatangkan kerugian politik kepada kerajaan BN pada masa tersebut. Tetapi sekiranya haiwan tersebut dikira boleh membawa keuntungan politik kepada BN, maka istilah babi diguna pakai semula. Inilah yang berlaku sekarang. Tujuannya ialah untuk menimbulkan rasa jijik di kalangan rakyat kepada siapa sahaja yang menjadi lawan kepada BN.
Apabila timbul isu penternakan khinzir cara moden yang direstui oleh kerajaan Negeri Selangor sekarang, maka timbullah serangan politik terhadap projek tersebut dengan tujuan kerajaan selangor sekarang akan dipandang jijik oleh rakyat sama seperti kebanyakan orang Melayu memandang babi. Cuma apa yang perlu kita tanya ialah di negeri manakah semasa pemerintahan BN yang tidak ada babi diternak?
Soal menternak babi adalah satu perkara yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana kelompok rakyat di negera ini, kerana rakyat yang memerlukan kepada haiwan tersebut mempunyai hak untuk menternaknya sama seperti hak mereka menternak haiwan-haiwan lain. Asalkan mereka warga negara Malaysia, mereka tetap mempunyai hak seperti warga negara yang lain.
Mengapa apabila BN mengalami kekalahan teruk barulah setengah pihak menjadi begitu peka dengan penternakan babi? Sekitar tahun 1996-1997 saya bawa satu rombongan pelajar saya ke sebuah ladang menternak khinzir di hulu Sungai Sikamat di Seremban. Ladang yang kami lawati itu menternak 10 ribu ekor khinzir. Ladang ini Jabatan Pertanian negeri Sembilan berani benarkan kami melawat kerana di situ terdapat satu sistem waste treatment untuk mengurangkan kandungan BOD yang akhirnya dilepaskan dari sistem tersebut ke anak sungai berhampiran.
Di situ terdapat banyak ladang lain, cuma yang kami lawati itu sahaja yang ada sistem treatment . Tetapi semua cemar dari semua ladang tersebut akan disalirkan ke anak sungai berhampiran. Anak sungai ini pula akan memasuki Sungai Sikamat yang akhirnya memasuki Sungai Linggi. Air dari sungai Linggi ini disedut untuk tujuan perbekalan di satu lokasi namanya Rantau, kira-kira 18km dari Seremban, dan sepanjang perjalanan dari Sikamat ke Rantau, terdapat banyak lagi ladang khinzir yang beroperasi sama seperti tempat yang kami lawati, paling terkenal ialah Kg Sawah, semuanya menyalirkan cemar ke Sungai Linggi.
Kami pernah melawat beberapa kali water intake point atau muka sauk di Rantau ini, dan technician yang bertugas di situ memberi tahu selalu membersihkan pelbagai bangkai, termasuk khinzir yang tersangkut pada trap intake point tersebut. Air yang disedut di sini dirawat dan kemudian dibekalkan sebahagiannya ke kawasan Seremban, Rantau dan Port Dickson.
Begitu juga berlaku di ladang-ladang sekitar Sungai Saringgit, yang akhirnya masuk ke Sungai Semenyih, danair sungai Semenyih ini disedut di Dengkil, dan dirawat kemudian dibekalkan ke beberap lokasi Lembah Kelang. Begitu juga di Kinta dan Tambun, Perak. Dan banyak tempat lagi.
Tak ada pun puak puak ni bising.

PAKATAN RAKYAT MEMERINTAH

Mengikut kenyataan pemimpin de facto Pakatan Rakyat (PR) Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini, gabungan itu sekarang mempunyai peluang cerah untuk menjadi kerajaan yang memerintah di peringkat persekutuan. Ini merupakan satu perkembangan baru dalam suasana politik di Malaysia. Walaupun PR mempunyai 82 kerusi parlimen daripada sejumlah 222 keseluruhan kerusi, namun pada persilatan Anwar, pakatan itu sekarang mempunyai cukup kerusi untuk membentuk kerajaan. ini adalah satu senario yang belum dialami di Malaysia selama ini, dan tentunya ia akan menjadikan iklim politik di negara ini semakin menarik dan rancak.


Bagaimanakah kerajaan PR boleh dibentuk nanti? Ramai orang menjangkakan penggunaan undi tidak percaya kepada kerajaan BN boleh menjatuhkan parti pemerintah itu dan dengan itu pembentukan team baru untuk membentuk kerajaan boleh dilakukan. Mekanisma untuk menjatuhkan kerajaan BN sekarang tidak menjadi sesuatu yang sukar dari segi teorinya, tetapi tentulah BN juga sedang membaca suasana sekarang dan sedang bersiap sedia sekiranya keadaan ini betul-betul terjadi nanti.


Persoalan yang lebih penting ialah adakah seluruh rakyat Malaysia telah bersedia untuk menerima perubahan kerajaan daripada BN kepada PR? Ini adalah satu persoalan besar yang perlu diambil kira dengan teliti sebelum sebarang political engineneering skala besar dilakukan seperti apa yang sedang membara sekarang. Modal utama PR setakat ini ialah dengan kemenangan besar dalam PRU12 yang lepas, rakyat kelihatan menerima perubahan yang dibawa oleh keputusan pilihanraya tersebut, dan dengan itu, rakyat dapat menerima pemerintahan selain daripada BN seperti yang ditunjukkan di lima negeri yang dikuasai oleh PR. Dari segi psikologinya, rakyat telah disediakan persiapan untuk perubahan langkah pertama.


Tetapi perubahan pada langkah seterusnya adalah merupakan satu perubahan drastik yang belum pernah dialami oleh rakyat Malaysia sebelum ini, dan Anwar Ibrahim ingin membawa perubahan ini. Oleh itu seluruh rakyat Malaysia hendaklah disediakan dahulu sebelum perubahan ini berlaku. Seluruh rakyat Malaysia hendaklah di psyche up secukupnya sebelum perubahan ini menjadi kenyataan. Gendang memaklumkan perubahan pemerintahan dari BN kepada PR perlu dipalu sekuat mungkin untuk menyediakan seluruh rakyat Malaysia dari segi psikologi.


Untuk melakukan ini, iaitu menyediakan rakyat Malaysia untuk perubahan besar ini memerlukan masa, dan masa di sini bermaksud tempoh yang cukup untuk rakyat bersedia dengannya tetapi bukan terlalu lama sehingga BN dapat mengumpulkan kekuatannya. Juga masa yang cukup untuk membolehkan Anwar Ibrahim kembali ke parlimen dan melakukan political engineering yang belum pernah kita saksikan selama ini.