Friday, January 15, 2010

PEKERJAAN HAJI.....15

Assalamualaikum,



Kalau Pergi Umrah Apa Kita Buat?
Bila kita ke tanah suci di luar musim haji untuk melakukan umrah, apa yang kita buat ialah:
1. Niat Umrah 2. Tawaf Umrah 3. Sai'e Umrah 4. Bercukur atau bergunting 5. Tertib.

Sonang yo.

Tetapi untuk menjaga umrah kita menjadi sempurna dan ikhlas dan diterima Allah memanglah pelbagai pantang larang perlu dijaga. sama seperti kita mengerjakan haji. Perbezaannya ialah apabila kita mengerjakan haji, tempat kita memasang niat itu adalah dalam bilik hotel kita. Tetapi untuk mengerjakan umrah, terdapat sedikit perbezaan.

Tempat kita memasang niat dinamakan miqat. Untuk mengerjakan umrah, terdapat beberapa tempat yang menjadi miqat.

Gambar menunjukkan keadaan di perkarangan Masjid Tanaim. Ia berkaitan dengan miqat.

Thursday, January 14, 2010

PEKERJAAN HAJI....14

Assalamualaikum,


Umrah
وَأَتِمُّواْ ٱلۡحَجَّ وَٱلۡعُمۡرَةَ لِلَّهِ
Dan Sempurnakanlah Ibadat Haji dan Umrah kerana Allah(2:196)

Mengerjakan haji dan umrah adalah wajib seperti yang diperintahkan dalam ayat Al Qur'an di atas.Biasanya kalau anda belum lagi mengerjakan haji atau umrah, maka haji dan umrah anda yang pertama itu menjadi wajib.

Umrah dikenali juga sebagai haji kecil. Ia boleh dilakukan diluar musim haji, atau diluar bulan bulan haji, tetapi haji mesti dilakukan dalam masa yang telah ditetapkan. Dalam pekerjaan umrah juga anda tidak wuquf dan tidak melontar.

Sekiranya anda melakukan haji, dan setelah selesai semua manasik haji, anda lakukan pula umrah, maka pekerjaan haji anda ini dikenali sebagai haji ifrad. Sekiranya anda mengerjakan umrah dalam bulan haji, dan apabila sampai waktu untuk mengerjakan haji, maka anda lakukan pula haji, pekerjaan ini dinamakan haji tamattu'. Sekiranya anda berniat dan mengerjakan haji dan umrah serentak dalam bulan haji, maka pekerjaan ini dinamakan haji qiran.

Masjid Hudaibiyah: Ada kaitan dengan umrah





Tuesday, January 12, 2010

PEKERJAAN HAJI.....13

Assalamualaikum,

Ada para hujjaj yang buat macam ni


Mina adalah satu bandar yang kecil. Pada musim haji, dalam masa 5 atau enam hari, seramai 2.5 juta orang akan menyerbu bandar kecil ini untuk menyempurnakan manasik haji. Tetapi perangai hodoh sebahagian orang Islam tetap tersembul di sini.

Ramai rupanya orang Islam yang pengotor dan mengotorkan. Mereka membuang sampah merata rata dan secara sewenang, tanpa rasa hormat kepada alam sekitar. Paling terasa ialah di Mina, kerana kawasannya kecil sedangkan orang yang mengunjunginya terlalu lalu ramai.


Anda ajarlah diri sendiri supaya jangan mengotorkan alam sekitar dan jangan membuang sampah secara merata rata dan sewenang. Sekiranya anda penghisap rokok, puntung rokok itu buanglah ke dalam tong sampah. Sekiranya anda merokok dalam toilet, kotak rokok jangan dibuang dalam lubang toilet. Sekiranya anda seorang wanita, tuala wanita yang telah diguna janganlah disumbatkan ke dalam lubang toilet. Bungkuslah dan buang dalam tong sampah. Boleh kan?

Pernah dalam tahun 1987 semasa saya mengerjakan haji, sewaktu itu berada di Medina, dan saya ingin pergi ke pasar tamar berjalan kaki. Saya lintasi sebatang jalan raya, dan tempuhi sebuah bulatan atau roundabout. Bulatan ini berada di bawah jejambat. Apabila saya pijak pasir dalam bulatan tersebut untuk menyeberang, saya dapati:

Tahi manusia, tahi manusia dan tahi manusia. Tidak ada ruang untuk meloloskan tapak kaki.

Sekarang perkara ini tidak berlaku lagi di tempat tersebut.

Monday, January 11, 2010

PEKERJAAN HAJI.....12

Assalamualaikum,

Jamarat

Kita kenali tempat ini sebagai tempat melontar anak batu. Kalau singular dikenali sebagai jamrah. Kalau plural jamarat. Ada tiga jamarat: Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra.

Jamarat ini terletak di Mina. Ritual atau manasik yang dilakukan di sini ialah melontar anak batu. Sekiranya anda pergi kursus haji, nanti anda akan diberi tahu maksud melontar, dan maksud anak batu. Yang mudahnya anda kena ingat, melontar bukan membaling.

Pada 10 Zulhijjah, selepas separuh malam, melontar untuk Jamrah Kubra dulu dilakukan. Separuh malam dikira dengan mengambil permulaan waktu magrib dengan permulaan waktu subuh; jangka masa tersebut dibahagi dua, dan waktu ini adalah sekitar 11:45 malam.

Pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah, lontaran adalah jamarat Sughra, Wusta dan Kubra mengikut urutannya.

Melontar di jamarat ini adalah mengambil sempena gangguan syaitan terhadap Nabi Allah Ibrahim semasa baginda dalam perjalanan untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail.

Bentuk jamarat sekarang

Elakkan melontar dalam suasana sesak seperti ini



Tunaikanlah haji. Anda akan merasakan suatu kenikmatan pengalaman yang menggamit kerinduan untuk kembali lagi dan lagi.

Sunday, January 10, 2010

PEKERJAAN HAJI.....11

Assalamualaikum,

Masy'aril Haram

Ini adalah tempat tempat bagi jemaah haji mengerjakan sebahagian daripada ritual atau manasik mereka.

1. Arafah: Tempat wukuf. telah dibincangkan dalam posting yang lepas. Terdapat sebuah masjid di sini yang dinamakan Masjid Namirah.
2. Muzdalifah: tempat bagi jemaah haji mabit (berada walaupun sesaat) pada malam 10 Zulhijjah. Terdapat sebuah masjid disini yang dinamakan Masjid Masy'ar al Haram. Disunatkan mengutip batu batu kecil untuk tujuan melontar di sini.
3. Mina: adalah tanah haram yang menjadi tempat mabit jemaah haji pada11, 12, dan 13 Zulhijjah. Di Mina terdapat tempat melontar yang di kenali sebagai Jamarat.

Anggaran Jarak (km)
1. Makkah ke Mina:8
2. Makkah ke Arafah:22.4
3. Mina ke Arafah:14.4
4. Mina ke Muzdalifah:3



Masjid Al Bai'ah di Mina