Friday, February 19, 2010

PEKERJAAN HAJI.....33

Assalamualaikum,

Pintu Masjid

Bagi anda yang pertama kali sampai ke Masjidil Haram di Makkah, adalah amat membantu sekiranya anda buat study dulu mengenai pintu pintu masjid. Ini adalah kerana, sekiranya anda mengenali pintu masjid, maka anda akan dapat tahu di mana ada berada. Kawasan masjid adalah tersangat luas, dan dari sebelah dalam, terutamanya dari perkarangan Kaabah, pemandangan yang kelihatan adalah serupa dari mana mana sudut.


Juga apabila anda ditempatkan di hotel hotel di Makkah, adalah amat membantu sekiranya anda bertanya pintu masjid yang manakah paling hampir dengan hotel anda, dan bertanya bagaimana untuk sampai ke sana.

Untuk memudahkah anda terdapat 4 pintu utama untuk masuk ke Masjidil Haram. Setiap pintu ini ada diberi nombor. Pintu pintu tersebut ialah Abdul Aziz, Fatah, Umrah dan Fahd. Pada pintu pintu utama ini dibina dua menara. Bab ul Abdul Aziz diberi nombor 1.

Selain daripada pintu utama yang empat ini, terdapat banyak lagi pintu pintu lain yang kecil, dan anda boleh pilih untuk masuk ke dalam masjid melalui mana mana pintu yang mudah bagi anda. Antara pintu pintu yang menjadi pilihan ialah Bab us Salam dan Bab ul Madinah.

Apabila anda berada di perkarangan Kaabah, untuk keluar, petunjuk kepada pintu pintu utama ini adalah disediakan pada cucur masjid di tepi perkarangan dan diberi warna tertentu untuk memudahkan anda kembali keluar dari masjid.



Bab ul Fatah (45)




Bab ul Umrah (62)


Wednesday, February 17, 2010

PEKERJAAN HAJI.....32

Assalamualaikum,

Menangguk

Musim haji adalah musim yang membawa rezeki yang berlebihan bagi sesetengah pihak. Misalnya, pada mula sampai di Makkah, apabila membeli top up SR 20, saya bayar SR 20. Tetapi apabila wukuf semakin hampir, perlu bayar SR 21.

Perhatikan si baju kuning dalam gambar di atas, dia berdiri tercegat disamping tong sampah. Tugas dia ialah memungut sampah dan masukkan ke dalam tong tersebut. Yang berdiri tercegat tu apa hal?

Itulah namanya strategi. Memang ramai yang ingin bersedeqah semasa mengerjakan pekerjaan haji, dan insan yang berpakaian seperti di atas tidak terlepas daripada mendapat rezeki Allah.




Semasa memerhatikan orang berduyun duyun turun selepas melontar, saya amati terdapat deretan pekerja seperti di gambar 1 beratur melawan arus pergerakan jemaah haji. Pada mulanya saya hairan, kenapa mereka beratur sedemikian. Sedangkan peminta sedeqah beratur sambil duduk di tempat tempat yang berhampiran.

Apabila saya lihat para jemaah haji menghulurkan sesuatu ke tangan pekerja yang berderet tadi barulah saya tahu bahawa mereka sedang menangguk.
Pengalaman ini ku abadikan di sini



Monday, February 15, 2010

PEKERJAAN HAJI.....31

Assalamualaikum,

Sukarnya Berkata Benar

Semasa mengerjakan haji atau umrah, kita sering ditempatkan di hotel hotel yang tinggi. kebanyakan daripada hotel hotel ini menyediakan lif untuk memudahkan penumpangnya sampai ke tingkat yang tinggi.

Beruntung saya semasa mengerjakan haji yang lepas, sewaktu di Madinah, kami ditempat dihotel yang tidak tinggi, kalau lif penuh mampu menaiki tangga dua tingkat.

Apabila kita ingin kembali ke bilik selepas sesuatu pekerjaan, sering kita perlu menunggu lif. Biasanya diwaktu puncak, terlalu ramai orang yang menunggu lif, dan berebut rebut untuk masuk ke dalam lif itu sesuatu yang sering dilakukan oleh sebahagian jemaah haji.

Sering apabila kita menunggu lif setelah sekian lama, lif tersebut sampai dan pintunya terbuka. Kita perhatikan memang dalam lif itu ada penumpangnya, tetapi untuk ditambah dua atau tiga orang lagi masih ada ruang. Hanya sedikit sempit.

Sering juga kita dengar mereka yang dalam lif menjeritkan: penuh, penuh,

Walaupun sebenarnya masih ada ruang lagi untuk beberapa orang lain memasukilif tersebut. Dan kalau sungguh penuh, lif itu sendiri akan mengeluarkan bunyi untuk memberi tahu.

Dah sampai ke tanah suci pun, sedang melakukan pekerjaan haji pun, masih lagi ada yang bercakap bohong.

Sukarnya berkata benar!