Saturday, March 13, 2010

PEKERJAAN HAJI.....41

Assalamualaikum,

Mengekalkan Wudhu


Apabila kita berada dalam Masjidil Haram, atau Masjid Nabawi, dan sekiranya kita ingin berada dalam masjid untuk jangka masa yang panjang, maka adalah amat membantu sekiranya kita dalam mengekalkan wudhu.

Sekiranya wudhu anda terbatal, ada tempat tempat yang diizinkan anda mengambil wudhu. Tetapi yang jadi masalah ialah sekiranya wudhu anda terbatal sewaktu hampir saat mendirikan solat, atau ada berada di tempat yang sangat sesak, dan kalau boleh anda tidak mahu meninggalkan tempat tersebut, maka mengekalkan wudhu ini menjadi sesuatu yang sangat berguna.

Ustaz ustaz selalu menggalakkan kita supaya sentiasa berada dalam keadaan berwudhu. Bukan sahaja semasa di tanah suci, tetapi juga di mana sahaja. Saya tahu seorang ustaz saya yang juga seorang hafiz Qur'an sentiasa berada dalam keadaan berwudhu'.

Itu sebab saya kagum dengan sahabat saya Abu Ahmad, seorang Arab warga Makkah yang sentiasa berada dalam keadaan berwudhu'. Semasa beliau menziarah saya dirumah saya di Malaysia, apabila sampai waktu solat, beliau terus bersolat kerana wudhu telah sedia ada pada beliau.

Semasa kami pergi ke Jabal Qubais, dan sewaktu handak solat magrib di puncak bukit tersebut, semua ahli keluarga beliau terus bersolat, kerana semuanya telah sedia ada wudhu. Sehinggakan anaknya yang paling kecil pun, Omar, yang saya kira dalam Darjah 1 kalau di Malaysia, turut telah terlatih untuk kekal dalam wudhu .

Semasa kami di puncak Jabal Qubais, saya dan isteri memang telah bersedia dari awal lagi untuk menjaga wudhu'.

Tetapi di masa masa lain, kedua dua kami, asyik

kentut.

BELAJAR TIDAK JADI LEBAI

Assalamualaikum,

Pernah jadi YDP PAS Bandar Tun Razak. Pernah jadi Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan.

Habis nak ajak masuk PAS buat hapa lagi?

Thursday, March 11, 2010

PEKERJAAN HAJI.....40

Assalamualaikum,

Di Puncak Jabal Qubais

Ramai orang Malaysia memberi tahu saya Istana Raja yang bersebelahan dengan Bukit Safa itu berada di Jabal Qubais. Maulid Nabi pun berada di Jabal Qubais. Apa pun saya tidak mahu mempertikaikannya.

Cuma kawan saya di Makkah yang bernama Al Hulayyil atau Abu Ahmad memberi tahu saya bahawa dia akan membawa saya dan isteri ke puncak Jabal Qubais. Di sana katanya, dalam bulan puasa, meriam ditembak waktu berbuka dan sahur.

Lalu pada satu petang, selepas asar dia dan keluarganya membawa saya dan isteri ke puncak Jabal Qubais. Dari situ pemandangan Al Haram adalah amat menakjubkan.
Kami berkelah ringkas di puncak tersebut, minum teh Arab yang dibawanya, solat magrib dan kemudian turun semula untuk kembali ke hotel.

Tapi itu adalah satu pengalaman yang sangat berharga kepada saya dan isteri.

DAH MULA SOLAT HAJAT, USTAZ

Assalamualaikum,

Kami dah mula solat hajat ustaz. Berterusan.

Tuesday, March 9, 2010

PEKERJAAN HAJI.....39

Assalamualaikum,

Solat Jumaat



Semasa mengerjakan haji atau umrah, solat jumaat di Tanah Suci adalah sesuatu yang dinanti nantikan. Ini adalah kerana ia merupakan satu peluang yang sukar didapati untuk solat berjemaah dalam satu perhimpunan yang sangat besar.

Sewaktu musim haji, sekiranya anda ingin bersolat jumaah di Masjdil Haram, ada baiknya sekiranya anda membuat persiapan secukupnya. Pertama, perhimpunan solat jumaat adalah satu perhimpunan yang sangat besar. Saya rasa akhbar Saudi menganggarkan solat jumaat sebelum wukuf pada musim haji yang lepas dihadhiri tidak kurang daripada 1.2 juta jemaah.

Kedua, solat jumaat di Tanah Suci juga disertai oleh jemaah tempatan, samada yang mengerjakan haji atau pun tidak. Dengan itu, keterdapatan tempat dalam masjid menjadi sesuatu yang terhad. Sekiranya anda lambat sampai ke masjid, maka anda mungkin tidak dapati tempat untuk duduk dalam masjid, dengan itu anda ,mungkin terpaksa solat di luar masjid. Berkemungkinan di tempat yang terdedah kepada panas terik matahari.

Gambar di atas saya rakamkan di Masjid Nabawi, pada jumaat terakhir sebelum saya berangkat pulang. Oleh kerana ada hal yang tidak dapat saya elakkan, saya terpaksa pergi ke masjid lambat, dan pada masa itu jemaah sudah sedia melimpah ke ruang luar masjid. Nasib baik saya dapat tempat duduk yang berada dalam teduh, tetapi terdapat ramai jemaah lain yang terpaksa berjemur dalam panas terik.

Sekiranya anda hendak solat jumaat di Masjidil Haram dan anda ingin tempat solat dalam masjid, saya cadangkan anda pergi 2 jam sebelum masuk waktu zohor. Itu pun berkemungkinan tempat tempat yang strategik telah sedia diduduki.

Tempat strategik yang saya maksudkan ialah tempat tempat yang anda akan dapat melihat kaabah tanpa sebarang halangan. Tempat tempat seperti ini biasanya menjadi rebutan. Semasa saya menunaikan haji dalam tahun 2001, saya telah sedia berada dalam masjid 3 jam sebelum azan jumaat. Sekiranya anda ingin berbuat seperti ini, anda beberapa perkara yang anda perlu ambil kira. Pertama anda tahan untuk tidak kentut. Kedua anda tahan untuk tidak kencing. Ketiga sendi sendi anda tahan tidak sakit sakit atau kebas kebas kerana duduk dalam jangka masa yang panjang.

Ada juga Tabung Haji beri nasihat kepada jemaah perempuan agar tidak solat jumaat pada waktu puncak, seperti jumaat terakhir sebelum wukuf. Cukup dengan mereka solat zohor di hotel, kerana keadaan bersesak sesak semasa menunggu solat jumaat mungkin boleh membawa mudharat kepada jemaah perempuan, terutama yang ada penyakit.

Pertama kali saya solat jumaat di Masjidil Haram ialah hari pertama saya sampai di Makkah semasa mengerjakan haji dalam tahun 1987. Saya sampai di masjid dalam keadaan jemaah telah sedia berada di kawasan perkarangan masjid. Seingat saya semasa saya memasuki saf, solat telah hampir di dirikan, jadi saya tidak punya peluang untuk memilih tempat. Mana tempat yang ada itulah yang saya sambar.

Apabila solat, tempat sujud saya ialah lantai bermarmar warna gelap. Sebaik saya letakkan dahi saya dilantai tersebut, secara otomatis saya tersentak dan kepala saya seolah terangkat ke atas. Ini adalah disebabkan saya rasa panas yang membakar mengenai dahi saya. Kemudian saya rasa seolah tidak begitu puas hati dengan solat saya kerana terperanjat dengan panas lantai tadi.

Dalam hati saya berkata selepas selesai solat ini nanti aku akan ulang semula solat.

Tiba tiba saya dengar satu suara dalam Bahasa Melayu solat kau dah betul la tu!