السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Semasa kami mendengar taklimat terakhir mengenai persiapan menghadapi PRU 13, kawan ku yang dulunya telah aku tulis tentangnya membeli songkok dua jengkal, ada bersama.
Sekarang penglihatannya telah tiada lagi, tetapi semangatnya untuk bersama sama dengan kerja kerja pilihan raya tidak pernah luntur.
Beliau menceritakan bagaimana apabila telah tiada penglihatan lagi, suatu hari beliau membeli burger. Semasa membuat pembayaran, beliau bertanyakan ini duit sekian kan dik? Adik yang menjual burger tu kata ya, dan membuat bayaran. Apabila sampai dirumah, barulah dia tahu bahwa dia telah membuat bayaran yang berlipat kali ganda untuk harga burger tersebut.
Kira kira 2 minggu sebelum pru, beliau menaiki teksi dari stesen komuter ke rumahnya. Biasanya tambang teksi untuk jarak tersebut ialah RM8.00. Dia menghulurkan wang RM 50.00 kepada pemandu teksi. Beliau tahu helaian wang bernilai berapa kerana telah dikursuskan mengenainya. pemandu teksi memberi tahunya bahawa pulangan baki tambang adalah sekian. Tetapi apabila teksi sudah pergi, ternyata baki ditangannya menunjukkan dia telah ditipu dan telah membuat bayaran yang berlipat ganda.
Beliau selamat sampai ke tanah air seminggu sebelum pru 13 setelah menunaikan umrah bersama keluarga. Semasa di Madinah, di bawah payung Masjid Nabi, beliau terasa haus, dan meminta anaknya mengambilkan satu cup air zam zam untuk diminum. Anaknya memenuhi permintaannya.
Mungkin kerana haus, satu cup tidak cukup, maka dia meminta anaknya ambilkan satu cup lagi sambil beliau menunggu di tiang payung di datara Masjid Nabi. Ditangannya masih ada lagi cup yang telah kosong, dan tongkat OKU tiada penglihatan. Tiba tiba seorang hamba Allah memasukkan helaian wang ke dalam cup nya. Dia memberi tahu orang itu: no no, I'm not expecting people to give money. Suara dihadapannya menjawab: never mind, keep it.
Di Makkah, beliau dipimpin oleh anaknya menuju ke Kaabah. Sebaik sampai di Kaabah beliau bertanyakan anaknya: mana Kaabah? Anaknya menjawab, itu Kaabah. Oh, kata anaknya, ayah membelakangkan Kaabah. Mari saya hadapkan ayah ke Kaabah. Maka si anak pun memusingkan beliau agar mukanya berhadapan dengan Kaabah. Oh, itu Kaabah , katanya.
Ayah nampak Kaabah ke? tanya anaknya. Ya, ayah nampak Kaabah, jawabnya.
Semasa kami berbual di markaz tu saya tanya: anta nampak Kaabah ke? Ya, katanya. Tapi cuma Kaabah sahaja.
Berapa kali nampak Kaabah? tanya ku
Setiap kali ke Kaabah, ana nampak Kaabah!