Wednesday, October 2, 2013

TAKBIR PRU

سۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Di institusi di mana aku bertugas sekarang terdapat penggunaan jentera seperti dalam gambar. Ku perhatikan semacam satu carriage dicangkuknya di belakang jentera ini yang mempunyai roda dan ruang yang juga ku perhatikan digunakan untuk meletakkan plastik sampah yang dikutip di sekitar institusi ini.

Bilik kuliah bagi kelas aku semester lepas terletak sekitar 5-7 minit berjalan kaki dari ofis aku, jadi sekiranya cuaca baik, aku memang mengambil peluang berjalan kaki ke kuliah. Juga yang memakai serban di institusi ini setau aku hanya aku dan seorang lagi.

Semasa aku berjalan kaki ke kuliah pada satu hari, aku dengar bunyi jentera ini sedang bergerak bertentangan arah dengan perjalanan ku. Sebaik jentera ini menghampiri aku, ku dengar satu jeritan: Takbir! Oleh kerana bunyi enjin jentera tersebut kuat, tentulah yang bertakbir itu mengeluarkan suara yang kuat sehingga aku dapat mendengarnya dengan jelas walaupun jaraknya dengan aku sekira kira jarak satu tiang letrik. Aku perhatikan pemandu jentera tersebut, dia memalingkan mukanya ke arah lain.

Dua tiga minggu kemudian, aku berjalan kaki lagi ke kuliah. Kali ini aku dengar juga bunyi enjin jentera ini sedang bergerak, tetapi kali ini dari arah belakang aku. Sebaik jentera ini memotong aku, ku dengar sekali lagi: Takbir! Kali ini pemandu tersebut tidak memalingkan pandangannya ke arah lain, mungkin kerana jentera tersebut sudah melepasi aku.

Setelah dua kali insiden ini, aku yakin, yang bertakbir itu ialah pemandu jentera tersebut.

Satu dua minggu kemudian, dalam perjalanan ku ke kedai makan untuk breakfast, aku terserempak lagi dengan jentera ini, tetapi kali ini jarak amat dekat kerana aku dan jentera itu berada di persimpangan jalan. Oleh kerana sangat hampir, aku menunggu dan mengamati pemandu tersebut dan berharap kalau dia lah yang bertakbir pada dua insiden yang lepas, aku ingin hadiahkan kepadanya sebuah senyumanku yang menawan ini. Aku juga ingin bertemu dengan dia, sekiranya dia parkir jentera itu di tempat yang berhampiran dengan aku, kerana aku ingin bersalaman dengan beliau dan bertanyakan khabar.

Tetapi, semasa jentera ini melepasi tempat di mana aku berdiri, pemandu tersebut tidak menoleh kepada aku dan tidak pula bertakbir. Aku berkira kira sekiranya dia bertakbir, ingin aku sahut takbir tersebut.

Beberapa hari selepas pertemuan ketiga ini, PRU ke 13 berlangsung.

Jentera dan pemandunya tidak kelihatan lagi sehingga ke hari ini