Friday, November 14, 2014

SAWO YANG MATANG

سْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Ia melambai lambai ditiup angin. Kayunya kukuh dan tidak mudah patah. Semasa mudanya ia kelihatan begitu rimbun sekali. Tetapi sekarang sebahagian daripada dahannya kelihatan usang dan  renggis. Dalam bahasa saintifik ia dikenali sebagai Manikara achras (Mill Fosber) tetapi dalam bahasa kampung ia dikenali sebagai ciku. Orang Jawa menamainya sebagai sawo.

Pokok ciku dalam gambar di atas telah sedia ada di hadapan laman rumah ayahku sejak aku belum lahir lagi. Setelah tamat peperiksaan HSC dalam tahun 1972, aku menganggur, sementara menunggu keputusan peperiksaan. Untuk menampung perbelanjaan harian ku, pokok inilah yang membantuku.

Pada ketika itu buahnya yang sudah tua, bermaksud kalau dipetik dan diperam, ia akan masak, laku untuk dijual. Jadi sekira kira dua kali seminggu aku akan panjat dan jolok serta kumpulkan buahnya, dan bawa ke sebuah kedai kopi di tepi sawah di simpang masuk ke Solok Gaong untuk dijual. Sekali jual biasanya aku dapat sekitar RM 1.50 .

Pada ketika itu, hasil jualan ciku itu cukup menampung perbelanjaan harian ku, untuk beli akhbar Straits Times, beli setem untuk urusan memohon tempat ke universiti, dan perbelanjaan lain.

Pokok ini masih lagi berdiri tegap dihadapan rumah kampung ku.