Monday, January 25, 2010

PEKERJAAN HAJI.....22

Assalamualaikum,

Memilih Solat di Lobby Hotel , Tidak Memilih Solat di Masjidil Haram

Menunggu untuk Solat di Dataran Masjid


Riwayat daripada Hassan Basri r.a. : Bahawa puasa sehari dalam negeri Makkah dibalas dengan seratus ribu hari dan sadaqah satu dirham itu dibalas dengan seratus ribu dirham dan demikian lagi segala kebajikan didalam negeri Makkah dibalas dengan seratus ribu.

Riwayat daripada Saidina 'Abdullah bin 'Abbas r.a., daripada Nabi s.a.w. telah bersabda ia bermula sembahyang di dalam Masjidil Medina itu dibalas dengan sepuluh ribu sembahyang, dan sembahyang di dalam Masjidil Aqsa dibalas dengan seribu sembahyang, dan sembahyang di dalam Masjidil Haram dibalas dengan seratus ribu sembahyang. [dipetik daripada SirasSalikin, oleh Syeikh 'Abdul Samad Al Falembani]

Pada musim haji yang baru lepas ini di banyak maktab, atau hotel tempat kediaman jemaah haji Malaysia ditampalkan poster yang memfatwakan bahawa bersolat di mana mana sahaja di Tanah Haram mendapat ganjaran seratus ribu sembahyang.

Fatwa ini telah dijadikan alasan oleh ramai jemaah haji yang tidak pergi sembahyang di Masjidil Haram, tetapi sebaliknya bersembahyang di lobby hotel. Oleh itu ada maktab maktab yang lobby penuh sesak dengan para jemaah haji bersolat.

Sekiranya sesorang itu mempunyai alasan atau uzur syar'ie untuk tidak ke Masjidil Haram, itu mudah difahami. Tetapi sekiranya seseorang jemaah itu boleh berjalan sebegitu jauh untuk tujuan bershopping, tetapi tidak mampu untuk ke Masjidil Haram, saya berpendapat itu adalah amat malang sekali.

Pada satu hari dalam musim haji yang lepas, saya telah kelambatan untuk ke Masjidil Haram. Semasa di dalam lif, terdapat dua orang perempuan yang saya kira telah berumur 50an yang pada kiraan saya tidak akan mampu untuk mengejar solat di Masjid memandangkan jarak ke masjid jauh sekali.

Saya bertanya kepada salah seorang mereka, solat di lobby hotel ke, dia jawab tidak, solat di Masjid Kucing. Dia memberi tahu bahawa kakinya telah capik untuk berjalan begitu jauh ke masjid.

Kalau kes seperti ini kita boleh faham. Tetapi kalau segar bugar dan begitu bertenaga untuk bershopping, kenapa nak solat di Masjid Kucing juga?
Masjid Kucing

Pada perkiraan saya jarak antara Masjid Kucing ini dengan pintu terdekat Masjidil Haram, iaitu pintu Marwah ialah 1000m atau 1 km.

Bagi sebahagian jemaah haji, kalau begitu jauh, baiklah aku solat di lobby hotel atau di Masjid Kucing ini.