Tuesday, February 2, 2010

PEKERJAAN HAJI.....26

Assalamualaikum,

Hajarul Aswad

Sekiranya anda mendengar cerita cerita daripada mereka yang kembali daripada haji atau umrah, kemungkinan besar anda akan terdengar cerita mengkucup hajaral aswad. Apakah itu hajaral aswad?

Ia adalah batu berwarna hitam yang terletak di satu penjuru kaabah berdekatan dengan pintu kaabah. Ia adalah penanda bagi memulakan tawaf. Tingginya daripada permukaan tempat tawaf adalah sekitar 1.5m.

Mengikut sejarah, batu ini adalah batu yaqut dari syurga yang asalnya berwarna putih berkilauan. Kilau ini telah dihlangkan oleh Allah, manakala warna putihnya bertukar kepada hitam terkesan dengan dosa dosa yang dilakukan oleh manusia.

Ketika Nabi Ibrahim meminta puteranya Nabi Ismail a.s. mencari batu dari Jabal Abi Qubais di Makkah sebagai penanda permulaan tawaf, malaikat Jibril telah datang kepada baginda dengan membawa batu ini sebagai memenuhi maksud tersebut.

Asalnya batu ini adalah seketul, tetapi telah pecah kepada 8 serpihan yang mana serpihan terbesar bersaiz seperti sebiji tamar. Serpihan ini telah dilekatkan menggunakan damar dan diletakkan dengan satu pengikat yang dibuat daripada perak.

Hukum mengucup hajaral aswad adalah sunat bagi lelaki dan harus bagi perempuan.
[Ibadat Haji , Umrah dan Ziarah: Lembaga Tabung Haji, 2009]

Saidina Omar

Dalam Hadis dinyatakan bahawa Saidina Omar berkata kepada hajaral aswad, kamu adalah batu, kalaulah tidak aku melihat Nabi s.a.w. mengucupmu, aku tidak akan mengucup mu.

Ada orang beritahu saya pintu syurga tidak akan ditutup selagi semua orang yang pernah mengucup hajaral aswad ini telah masuk ke dalam syurga. Puas saya cari hadis ini tetapi tidak berjumpa.

Perihal mengucup hajaral aswad

Semasa saya mengerjakan umrah dalam tahun 1982, saya rasa teramat senang untuk mengucup hajaral aswad. Setiap kali tawaf, saya dapat mengucup hajaral aswad. Selesai 2 set tawaf saya telah mengucupnya 14 kali.

Tetapi tahun tahun berikutnya percubaan untuk mengucup batu ini menjadi semakin sukar, sehingga sesiapa yang berkeras keras, bertolak tolak tolak, himpit menghimpit, besar kemungkinan terlepas pahala sunat, tetapi dapat dosa pula kerana berlaku kasar dan mementingkan diri sendiri.

Semasa saya menunaikan umrah 1993, seorang teman sebilik,bekas tentera, akan berdoa dulu sebelum membuat percubaan mengucup, dan kemudian meluru dan merempuh barisan orang yang bertungkus lumus untuk mendapat giliran. Dia dapat mengucup, tetapi orang lain lintang pukang disebabkannya.

Dalam tahun 2008, anak saya Muhammad Basyir cuba bersendirian untuk mengucup hajaral aswad. Dalam berasak asak itu dia telah dipelawa oleh lelaki yang bertutur cara Indon untuk ditolongi mengucup. Akhirnya anak saya berjaya untuk mengucupnya. Dia kemudian dibawa oleh lelaki ini keluar, dan di situ juga lelaki tersebut meminta bayaran. Anak saya terpinga tetapi akhirnya bayar juga SR 50.

Ada orang beritahu saya, kalau hendak mengucup hajaral aswad, berdoalah untuk dapat kucup, dan jangan lupa juga berdoa untuk dipermudahkan keluar daripada kesesakan di situ.
Ada juga orang beritahu saya, sekiranya perempuan ingin mencium hajaral aswad, cara yang dilakukan ialah pergi ke pak guard yang tercegat di situ seperti dalam gambar di atas. Pegang kaki seluar pak guard tersebut, goyang kuat kuat sambil berkata hajaral aswad, hajaral aswad. Bila pak guard tu tidak tahan lagi, dia akan hentikan asakan orang ramai, dan bawa perempuan tu mencium hajaral aswad.

Kau nak cuba, cuba la.