Saturday, February 6, 2010

PEKERJAAN HAJI.....28

Assalamualaikum,

Duit

Orang Malaysia kata duit, orang Indon bilang uang, pak arab kata fulus. Tetapi semuanya bermaksud sama. Sekirnya anda hendak mengerjakan haji, antara perkara yang anda perlu ada ialah duit.

Biasanya kalau anda mengerjakan haji, anda akan perlu membelanjakan sejumlah wang. Bagi sesetengah orang, jumlah ini adalah besar. Pada setengah orang yang lain pula, jumlah ini tidak tercapai walaupun menabung seumur hidup.

Bagi orang yang belum lagi menunaikan haji, sering kita dengar antara sebab yang menghalangnya daripada menunaikan haji ialah duit. Tak ada duit, katanya.

Mungkin bagi sesetengah orang, alasan ini adalah betul, ikhlas dan sungguh.

Tetapi kalau anda yang membaca posting ini belum lagi menunaikan haji, adakah wang itu yang menjadi penghalang bagi anda untuk mendaftarkan diri menunaikan haji? Betulkan anda tidak punya wang?

Dalam tahun 1984, saya menghantar nenek saya menunaikan haji. Bersama dengan nenek saya ini ialah seorang wargamas dari kalangan sedara mara juga yang di kenali sebagai Nek Minah. Beliau adalah seorang janda tua , orang kampung yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap. Tetapi beliau mempunyai kemahiran mengurut.

Dengan mengurut, beliau dapat upah. Biasanya upah mengurut ialah RM1.00 sekali urut. Itulah rate di kampung. Tetapi dengan upah mengurut yang sedemikian, beliau dapat membuat badal haji untuk almarhum suaminya, dan juga kedua ibu bapanya.

Bila kesemuanya telah dihajikan, beliau pula bersedia untuk menunaikan haji pula, walaupun pada usia yang sangat lanjut. Belanja untuk pekerjaan haji beliau adalah hasil jerih beliau mengurut. Allah teramat sayang kepada beliau kerana telah dijemput menemui Allah di Mina semasa dalam pekerjaan haji.

Seorang lagi yang saya temui ialah Wak Marjan. Saya rasa beliau adalah buruh kasar di sebuah IPTA pada masa itu. Dengan pendapatannya sebagai buruh kasar, beliau bukan sahaja mampu menyara keluarganya secara ala kadar, tetapi dapat menunaikan haji. Beliau menceritakan, apabila beliau berniat sahaja untuk mengerjakanhaji, tidak lama selepas itu duit datang daripada punca punca yang tidak beliau jangka.

Dan ada banyak lagi cerita yang boleh diceritakan mengenai orang yang pada luarnya memang tidak punya duit untuk menunaikan haji, tetapi apabila telah berhasrat untuk menunaikan haji, maka dengan izin Allah dapat dia menunaikan haji.

Bagaimana dengan anda yang gaji beribu ribu. Ada rumah, ada kereta dua tiga biji, ada tv latest model, laptop lima enam belas dalam rumah, tetapi hati anda tidak terpanggil untuk menunaikan haji.

Bila tanya kenapa tak pergi haji? Duit tak ada!

Jangan sekali kali anda beri alasan duit tidak ada apabila dikaitkan dengan pekerjaan haji.

Nanti sepanjang hayat anda tidak akan cukup duit.