Tuesday, March 9, 2010

PEKERJAAN HAJI.....39

Assalamualaikum,

Solat Jumaat



Semasa mengerjakan haji atau umrah, solat jumaat di Tanah Suci adalah sesuatu yang dinanti nantikan. Ini adalah kerana ia merupakan satu peluang yang sukar didapati untuk solat berjemaah dalam satu perhimpunan yang sangat besar.

Sewaktu musim haji, sekiranya anda ingin bersolat jumaah di Masjdil Haram, ada baiknya sekiranya anda membuat persiapan secukupnya. Pertama, perhimpunan solat jumaat adalah satu perhimpunan yang sangat besar. Saya rasa akhbar Saudi menganggarkan solat jumaat sebelum wukuf pada musim haji yang lepas dihadhiri tidak kurang daripada 1.2 juta jemaah.

Kedua, solat jumaat di Tanah Suci juga disertai oleh jemaah tempatan, samada yang mengerjakan haji atau pun tidak. Dengan itu, keterdapatan tempat dalam masjid menjadi sesuatu yang terhad. Sekiranya anda lambat sampai ke masjid, maka anda mungkin tidak dapati tempat untuk duduk dalam masjid, dengan itu anda ,mungkin terpaksa solat di luar masjid. Berkemungkinan di tempat yang terdedah kepada panas terik matahari.

Gambar di atas saya rakamkan di Masjid Nabawi, pada jumaat terakhir sebelum saya berangkat pulang. Oleh kerana ada hal yang tidak dapat saya elakkan, saya terpaksa pergi ke masjid lambat, dan pada masa itu jemaah sudah sedia melimpah ke ruang luar masjid. Nasib baik saya dapat tempat duduk yang berada dalam teduh, tetapi terdapat ramai jemaah lain yang terpaksa berjemur dalam panas terik.

Sekiranya anda hendak solat jumaat di Masjidil Haram dan anda ingin tempat solat dalam masjid, saya cadangkan anda pergi 2 jam sebelum masuk waktu zohor. Itu pun berkemungkinan tempat tempat yang strategik telah sedia diduduki.

Tempat strategik yang saya maksudkan ialah tempat tempat yang anda akan dapat melihat kaabah tanpa sebarang halangan. Tempat tempat seperti ini biasanya menjadi rebutan. Semasa saya menunaikan haji dalam tahun 2001, saya telah sedia berada dalam masjid 3 jam sebelum azan jumaat. Sekiranya anda ingin berbuat seperti ini, anda beberapa perkara yang anda perlu ambil kira. Pertama anda tahan untuk tidak kentut. Kedua anda tahan untuk tidak kencing. Ketiga sendi sendi anda tahan tidak sakit sakit atau kebas kebas kerana duduk dalam jangka masa yang panjang.

Ada juga Tabung Haji beri nasihat kepada jemaah perempuan agar tidak solat jumaat pada waktu puncak, seperti jumaat terakhir sebelum wukuf. Cukup dengan mereka solat zohor di hotel, kerana keadaan bersesak sesak semasa menunggu solat jumaat mungkin boleh membawa mudharat kepada jemaah perempuan, terutama yang ada penyakit.

Pertama kali saya solat jumaat di Masjidil Haram ialah hari pertama saya sampai di Makkah semasa mengerjakan haji dalam tahun 1987. Saya sampai di masjid dalam keadaan jemaah telah sedia berada di kawasan perkarangan masjid. Seingat saya semasa saya memasuki saf, solat telah hampir di dirikan, jadi saya tidak punya peluang untuk memilih tempat. Mana tempat yang ada itulah yang saya sambar.

Apabila solat, tempat sujud saya ialah lantai bermarmar warna gelap. Sebaik saya letakkan dahi saya dilantai tersebut, secara otomatis saya tersentak dan kepala saya seolah terangkat ke atas. Ini adalah disebabkan saya rasa panas yang membakar mengenai dahi saya. Kemudian saya rasa seolah tidak begitu puas hati dengan solat saya kerana terperanjat dengan panas lantai tadi.

Dalam hati saya berkata selepas selesai solat ini nanti aku akan ulang semula solat.

Tiba tiba saya dengar satu suara dalam Bahasa Melayu solat kau dah betul la tu!