السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menggesa wanita memberikan kekuatan dan sokongan kepada suami mereka yang akan dapat membantu memperkukuhkan institusi keluarga di negara ini.
Beliau turut menasihatkan mereka supaya meluangkan masa untuk anak-anak tanpa mengira betapa sibuknya mereka.
Dalam temu bual di radio TraxxFM di Angkasapuri di sini Khamis, Rosmah berkata dirinya, sebaliknya, mendapat kekuatan daripada suaminya Datuk Seri Najib Tun Razak serta anak-anaknya.
"Apabila saya berasa sedih atau berduka, anak-anak saya sentiasa ada di sisi untuk memujuk saya dan membantu menjadikan keadaan kembali pada perspektifnya. Mereka membuat saya ketawa dan mereka amat memahami saya.
"Jadi, walau macamana sibuknya saya, saya sentiasa luangkan masa untuk anak-anak saya," katanya dan menambah anak-anaknya yang mendorong dirinya untuk memberi perhatian terhadap pembangunan kanak-kanak di negara ini.
"Saya mahu orang menyayangi anak-anak mereka sebagaimana saya menyayangi anak-anak saya. Jadi para ibu bapa, tanpa mengira betapa sibuknya anda, luangkan masa untuk anak anda," kata Rosmah.
Menyatakan walaupun Najib seorang perdana menteri namun beliau juga adalah manusia biasa.
"Sebagai seorang isteri, adalah amat penting untuk saya memberikan kekuatan kepada suami saya agar beliau kekal kuat dan bersemangat untuk berkhidmat kepada rakyat...Ini lah yang patut dilakukan oleh seorang isteri, kita berikan kekuatan kepada suami kita".
Rosmah berkata juga penting bagi dirinya memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia yang cemerlang seperti pemain badminton nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei supaya mereka terus mencapai dan mencatatkan kejayaan besar untuk negara.
"Apabila kita mahu memberikan inspirasi kepada orang, adalah penting untuk melayani mereka sebagai kawan. Dengan Chong Wei, saya berkomunikasi dengannya untuk memberikan nasihat dan galakan kepadanya," katanya dan menurutnya beliau berasa gembira jika dapat memberi inspirasi kepada orang lain.
Sumber:http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2012/1/12/mstar_berita/20120112160105&sec=mstar_berita