السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Aku tanya anak ku siapa yang nyanyi lagu ni? Dia kata anwar zain dengan siapa hentah. Itulah lagu yang dikumandangkan semasa suasana raya menjelang dan mengambang. Semasa aku kecil, suasana hari raya akan disambut dengan lagi dam dam dum bunyi mercun nyanyian Saloma. Suasana sudah berubah. Mereka tidak lagi mengenali Saloma, sebab Saloma meninggal mereka belum pun lahir.
Semasa zaman ku hidup di kampung, apabila masuk sahaja bulan Ramadhan, akan ada orang yang membuka gerai di tepi jalan. Gerai gerai ini akan beroperasi sepanjang bulan Ramadhan dan dilanjutkan sehingga seluruh bulan Syawal. Tokeh gerai ni nampaknya tidak endahkan tarawih, begitu juga customer mereka juga tidak peduli akan tarawih, yang penting mereka boleh bersembang sehingga lewat malam di malam malam bulan Ramadhan.
Seorang daripada tokeh gerai ini, sudah almarhum, namanya Md. Isa, menjual mee goreng, tetapi taugehnya jauh lebih banyak daripada mee nya. Seorang lagi, juga sudah almarhum, namanya Md. Dek, menjual tahu sumbat, atau di tempat kami dikenali sebagai tahu celah. Makanan ini juga jadi kegemaran ku. Tetapi sekarang mengapa apabila aku makan tahu celah ni rasa tidak sesedap seperti dulu? Adakah dulu aku tidak reti merasai makanan, semuanya sedap belaka?
Sesungguhnya Syawal datang dan beredar. lagu raya akan terus dicipta. Nanti setiap raya aku akan bertanya: siapa yang nyanyi?