Wednesday, April 30, 2008

BAHAN RENUNGAN: HIDAYATUS SALIKIN PART I

Assalamualaikum,

Semalam (Selasa malam rabu, 29/4/08), saya dan sahabat sepertimana aktiviti mingguan kami, mengadakan usrah. Salah satu daripada teks yang kami gunakan ialah sebuah kitab lama namanya Hidayatus Salikin, karangan Syeikh Abdus Samad Al Falembani, yang diterbitkan oleh Cahaya Purnama, Al Madrasah Al Diniah Al Bakriah. Tiada pula tarikh cetak kitab ini. Kitab ini adalah salah satu kitab agung di Nusantara ini, dan walau pun umur kitab ini mungkin sudah mencecah 200 tahun, namum isinya masih tetap relevan dan terkehadapan untuk kita semua jadikan panduan. Juga oleh kerana kumnpulan usrah ini telah lebih 20 tahun beraktiviti, maka penggunaan kitab ini kami rasa sebagai timely.


Kami telah sampai kepada bab yang ke 3 pada muka surat 151 dalam naskhah cetakan ini, yang menyatakan Menjauh Segala Maksiat Yang Zahir. Dalam bab ini, penulis bermula dengan ayat AlQur'an dalam Surah Ya Sin yat 65 yang berbunyi: Pada hari yang kami tegahkan atas segala mulut mereka itu daripada berkata-kata (iaitu hari qiamat) dan bertutur akan kami oleh segala tangan mereka itu dan naik saksi segala kaki mereka itu dengan suatu ma'siat yang ada diperbuat dan diushai oleh mereka itu.


Kata Syeikh Abdus Samad: Syahdan saugianya engkau pelihara akan segala badanmu istimewa pula segala anggota mu yang tujuh daripada segala ma'siat yang ditegahkan akan dia oleh Allah Taala iaitu memeliharakan mata dan telinga dan lidah dan perut dan faraj dan tangan dan kaki kerana neraka jahanam itu ada baginya tujuh pintu dan tiada masuk ke dalam tiap-tiap satu daipada pintu yang tujuh itu melainkan sebab berbuat ma'siat dengan anggota yang tujuh ini.


Maka Syeikh Abdus Samad menghurai setiap satu anggota itu. Kami mulai bacaan mengenai anggota mata ini pada 11/12/07, dan malam tadi kami sampai ke anggota perut. Dalam part II saya perturunkan nanti apa yang ditulis oleh Syeikh Abdus Samad mengenai bahan yang kami bincang malam tadi.