Bagi anda yang ada anak yang belajar di mana-mana institusi pengajian tinggi, bantuan PTPTN rasanya perlu digunakan untuk menampung perbelanjaan pelajaran tersebut. Ini adalah kerana sistem biasiswa atau pun dermasiswa tidak lagi diwujudkan dalam banyak keadaan, dan seorang pelajar average akan memerlukan pinjaman ini untuk membiayai kos pelajarannya.
Baru-baru ini ada menteri yang membuat komen bagi menyoal samada PTPTN ini selari dengan syarak' atau pun tidak, kerana pelajar yang meminjam diperlukan membayar semula pinjaman tersebut dengan ditambah satu jumlah lagi lebih daripada jumlah yang dipinjam. Tambahan ini disebut sebagai service charge. Soal yang timbul adakah ini riba'?
Jawapan kepada soalan ini sepatutnya diberikan oleh Majlis Fatwa Negara, akan sebarang bentuk kekeliruan yang timbul dapat dipadamkan dengan muktamad. Sekiranya fatwa mengenainya dibuat, maka pelajar dan ibubapa tidak akan berasa waswas samada mereka dijerumuskan oleh kerajaan ke dalam kancah riba' disebabkan pinjaman ini.
Riba' secara asasnya ialah apabila kita meminjam sesuatu dan pinjaman tersebut dibayar dengan benda yang sama dan pada masa bayaran yang telah ditetapkan jumlah tambahan dikenakan terhadap pinjaman tersebut.
Walau apa terminologi yang digunakan pun, riba' akan tetap riba'. Adakah kita sanggup menjerumuskan generasi muda Islam ke dalam kancah ini disebabkan kita tidak menyediakan mekanisma pinjaman yang diselaraskan dengan syara'? Oleh itu pihak yang berautoriti paling tinggi dalam masalah hukum Islam perlulah tampil untuk menyelesaikan keresahan orang ramai.