Friday, July 18, 2008

DEMO DI NEW YORK

Assalamualaikum,

Selepas solat Jumaat hari ini di Masjid ArRahman, KL, kedengaran pelajar-pelajar universiti membuat demonstrasi. Laungan yang saya dengar ialah re-for-ma-si. Saya terus dengan ibadat saya, dan selepas membeli belah di perkarangan masjid, kelihatan ramai anggota polis beruniform merayau rayau di kawasan orang berniaga.
Semasa saya pelajar, saya banyak kali menyertai demonstrasi. Tetapi yang paling unik ialah demonstrasi yang saya sertai di New York. Demo tersebut diadakan dalam tahun 1981, pada masa summer, saya rasa bulan Julai. Demonstrasi tersebut dianjurkan oleh pelajar dan rakyat Iraq di USA, untuk menentang pengeboman oleh Israel terhadap reaktor nuklear Iraq. Masa itu saya pelajar PhD di Penn State. Saya cuma ingin merasa bagaimana keaadaannya berdemonstrasi di USA. Bersama ialah Omar Jaafar, Hj. Abdul Samad Ismail dan Jalaludin Haron.
Demonstrasi tersebut sebenarnya adalah propaganda Saddam Husin, kerana semasa kami berarak, kemarahan yang dihamburkan bukan sahaja kepada Israel dan Menachem Begin, tetapi juga kepada Ayatulllah Khomenei, kerana pada masa itu Iraq sedang berperang dengan Iran.
Yang menarik dan unik ialah, demonstrasi tersebut dapat kebenaran dari polis New York, malah perarakan kami di supervise oleh pihak polis, termasuk yang menunggang kuda. Walaupun saya nampak orang-orang Yahudi New York yang memerhatikan perarakan kami itu mengigil kemarahan, tetapi tidak ada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku. Demonstrasi bersurai di tempat yang telah ditetapkan oleh polis.
Yang penting, tidak berlaku sebarang keganasan oleh pihak polis, malah pihak polis menjadikan demonstrasi tersebut lebih teratur.
Berbeza dengan di Malaysia. Rakyat sendiri pun di lanyak habis-habisan.