Saturday, July 12, 2008

DUA RAMADHAN YANG LEPAS

Assaalamualaikum,
Sebaik sahaja saya dan isteri sampai ke rumah usang yang kelihatan daif itu, saya melihat seorang gadis sunti sedang menyapu sampah. Menyedari kami ingin menziarahi keluarganya, si gadis kecil terus memanjat tangga dengan tujuan yang saya faham, untuk memanggil ibunya. Sebelum itu, saya telah telah nampak si ibu juga sedang menyapu sampah di laman rumah tersebut, namun apabila menghidu ada tetamu yang mungkin singgah, maka ia menghilang diruang dapur.
Saya dan isteri telah melilau mencari rumah ini, dan setelah beberapa kali ditunjukkan rumah yang salah, akhirnya sampai juga kami ke rumah yang kami hajati. Kami dijemput naik ke rumah, dan semasa kaki saya melangkah naik mata tangga saya nampak si gadis sunti tadi menyapu air yang mengalir dari mata, walaupun ia cuba menyurukkannya.
Si ibu tadi mempersilakan kami datang, tetapi tidak merasa hairan dengan kedatangan kami, sedangkan kami berdua adalah orang asing bagi keluarga ini. Saya tahu, mereka telah biasa menerima tetamu yang tidak dikenali dan tidak diundang.
Kami berbual dan bertanya khabar dan sambil memperkenalkan diri serta menyatakan tujuan kami ke rumah usung itu. Semuanya diterima dengan satu lentuk dan lengguk yang menunjukkan suatu kebiasaan. Kami diperkenalkan dengan kakak kepada si gadis sunti tadi, dan juga adik atau abangnya.
Setelah berbual lebih kurang 15 atau 20 minit, kami sampaikan apa yang ingin kami sumbangkan kepada keluarga tersebut, dan lepas itu kami pun pulang. Peristiwa ini berlaku dalam bulan ramadhan 2006, sekira-kira 4 atau 5 hari lagi menjelang hari raya.
Sebenarnya semasa isteri saya sedang berbual-bual dengan si biu tadi, hati saya terus merintih, mengenangkan nasib keluarga ini. Saya sebenarnya menangis semau-maunya dalam hati, dan walaupun saya tahan dan control sekuat mungkin, namun genangan air mata saya terkeluar juga dari kelopak mata. Saya berpura-pura mengambil tisu untuk mengesat muka, tetapi sebenarnya saya mengesat air mata supaya ia jangan meleleh ke pipi saya. Dan sebenarnya saya tak tahan duduk lama di rumah tersebut kerana terlalu sedih dan terlalu sebak, risau kalau-kalau terkeluar pula suara tangisan saya.
Dalam keluaran HARAKAH 16-31 Julai 2008, saya terbaca kisah keluarga ini lagi. Tempat yang kami ziarah itu ialah Kampung Sungai Serai, Batu 14 Hulu Langat. Si ibu yang melayani kami itu ialah Fatma Masrum. Keluarga yang kami ziarah itu ialah keluarga Shahrial Sirin, seorang tahanan ISA. Si gadis sunti yang menyapu sampah itu ialah Izzatul Zahrah, dan masih terbayang lagi dengan terang sekali gadis sunti ini menyapu lelehan air matanya semasa kami sampai di rumah itu. Rupanya.....
Rupanya air mata gadis ini terus mengalir dan mengalir, kalau dua Ramadahan dulu saya nampak air matanya mengalir, sekarang, dalam bulan Rajjab, saya nampak dalam fikiran saya air matanya terus mengalir. Betapa kan tidak, ayahya telah sekian kali hari raya merengkok dalam tahanan tanpa bicara, dan belum pun sempat bertemu dengan ramadahan yang baru suatu kesedihan baru menimpanya.
Kakaknya, Aina Mardiah Binti Shahrial telah dijemnput Allah terlebih awal untuk menemuiNya pada usia yang begitu muda.
Dan air mata terus mengalir