Membaca tulisan sahabat saya Abdul Shukur Harun dalam Harakah Bil.1394 mengenai Islam bukan sahaja hukum yang mengulas kenyataan YB Kuala Selangor Dr. Zulkifli Ahmad membuat saya beranggapan Shukur terpesona dengan idea Dr. Zul tersebut. Tulisan ini bukan menyanggah mana mana pihak, tetapi ingin mengenengahkan satu lagi pandangan mengenai topik ini.
Pemerintahan Islam memang berteraskan kepada hukum Islam. Tanpa menjalankan hukum Islam, atau syariat Islam sengaja, pada saya saya adalah berdosa dan durhaka kepada Allah. Memang Islam mengandungi tiga komponen, iaitu 'aqidah, syariat dan akhlak, dan kesemuanya hendaklah berjalan serentak.
Cuma, mengikut YB Dr. Zul, sekiranya sesuatu pemerintahan Islam itu tidak menjalankan hukum, seperti hudud dan qisas, maka pemerintahan tersebut tidak boleh dilabelkan sebagai bukan pemerintahan Islam, kerana menurut beliau lagi, pemerintahan Islam merangkumi Al Istikhlaf (good governance), Al Istikmar (kemakmuran) dan Al Adalah (keadilan). Maka, mengikut hujah ini, sekiranya sebuah pemerintahan berteras Islam mengandungi tiga komponen ini, ia sudah dikira sebagai pemerintahan Islam. Nampaknya Abdul Shukur Harun terpesona dengan penggunaan istilah istilah tersebut.
Samada suka atau tidak, sebuah pemerintahan Islam mesti mengandungi dan melaksanakan tiga unsur asas Islam tadi, 'aqidah, syariat dan akhlak atau ehsan. Sekiranya setelah berusaha untuk menjalankan ketiga tiga unsur tadi, tetapi pemerintah mendapati atau menemui halangan, maka pada ketika itu pemerintah perlu berijtihad untuk menghasilkan fiqh yang bersesuaian dengan waqi' ketika itu, seperti Khalifah Omar Al Khattab menangguhkan implementasi satu hukum syariat.
Perlu diingat, bahawa Al Istikhlaf, Al Istikmar dan Al Adalah adalah merupakan precipitate daripada implementasi 'aqidah, syariat dan akhlak. Ia bukan asas pemerintahan Islam, tetapi ia adalah ciri penting dalam pemerintahan Islam. Perlu juga diingat, bahawa ketiga tiga unsur yang dikemukakan oleh YB Dr. Zul tadi juga boleh didapati dalam pemerintahan yang tidak Islamic, seperti dalam sistem kerajaan yang mengamalkan sosialisme. Jadi apakah beza antara Al Istikhlaf, Al Istikmar dan Al Adalah yang dilakukan oleh pemerintah yang membawa label Islam dengan pemerintah yang membawa label sosialisme?
Istilah kadang kadang memang boleh mempersonakan.