Tuesday, August 4, 2009

I.S.A. & SMOKE SCREEN

Assalamualaikum,

Terlalu banyak tulisan yang memberi komen tentang bodohnya sesetengah orang Melayu yang sekali lagi berdemonstrasi untuk mempromosikan idea menghapuskan undang undang zalim dan bersifat draconian bernama I.S.A.

Kepada mereka yang menulis ini kelihatan orang Melayu yang turun berdemonstasi tersebut adalah bodoh, bangang dan bebal serta menjadi kuda tunggangan kepada kaum lai,n terutamanya orang Cina yang diterajui oleh DAP dan oang India yang diterajui oleh Hindraf. Kepada mereka yang menulis ini, I.S.A adalah satu senjata Taming Sari yang bertujuan menjaga orang Melayu, agar orang Melayu kekal menjadi tuan besar di negara ini. Dicabut I.S.A., maka tercabutlah cengkaman orang Melayu kepada kuasa politik negara ini, maka oleh kerana itu, dengan apa cara sekali pun, I.S.A. hendaklah dan mestilah dipertahankan.

Tapi benarkan demikian? Iaitu kuasa politik orang Melayu bergantung kepada kekalnya I.S.A. ini? Atau mungkin ia satu smoke screen yang melindungkan sesuatu di belakang? Apabila orang UMNO bercakap tentang Melayu, tentang orang Melayu, apa yang sebenarnya mereka maksudkan ialah orang UMNO. Gantikan perkataan Melayu itu dengan UMNO, maka kita akan faham mengapa mereka sangat sangat mempertahankan I.S.A.

Sekiranya UMNO benar benar memperjuangkan nasib orang Melayu, kenapa dikenakan sekatan kepada Kelantan yang ditadbir oleh PAS? Bukankan rata rata orang Kelantan itu orang Melayu? Mengapa diwujudkan Jabatan Pembangunan Persekutuan yang melencungkan peruntukan yang semestinya diberi kepada pentadbir Kelantan agar rakyat Kelantan yang rata rata orang Melayu dapat mengecap pembangunan? Mengapa disonglap royalti hasil fosil yang dihasilkan di negeri Kelantan? Bukankah sekiranya hasil tersebut dititiskan kepada rakyat Kelantan, maka rata rata orang Melayu yang akan dimajukan?

Mengapa semasa PAS memerintah Terengganu undang undang dan peraturan dikerepotkan oleh UMNO dengan memutarbelit wang royalti diistilah semula menjadi wang ehsan dengan mengenepikan semua peruntukan undang undang? Bukan itu menunjukkan bahawa orang Melayu bukan agenda utama; yang utama ialah agenda UMNO. Sebab itulah orang Melayu Terengganu kekal ditahap kemiskinan yang tinggi, walaupun negeri mereka menghasilkan petrolium.

Mengapa orang Melayu di negeri negeri yang diperintah oleh UMNO/BN disisih dan didiskriminasi? Orang Melayu yang tidak UMNO disisih daripada memegang jawatan jawatan dalam masyarakat, disisihkan daripada mendapat bantuan negara, apatah lagi ditindas dan ditindih daripada mendapat bahagian dalam pembahagian kuih ekonomi negara. kesemuanya dibolot oleh mereka yang UMNO. Dan mereka masih mempunyai kokok yang mengatakan mereka membantu orang Melayu, mereka menaikkan taraf hidup orang Melayu; tetapi sebenarnya mereka menaikkan taraf hidup orang UMNO.

Perlu diberi faham kepada UMNO bahawa keadaan ini tidak boleh kekal berterusan. Pembohongan mereka kepada rakyat, kepada orang Melayu tidak boleh berterusan. Tidak semua orang Melayu akan terliur apabila djanjikan dengan umpan jambatan seperti yang mereka pancing di Manek Urai. Semakin orang Melayu ditekan, semakin kesederan menyerapi diri mereka.

I.S.A. kerap digunakan sebagai perisai politik apabila UMNO berada dalam keadaan tertekan. Hatta dalam keadaan tidak tertekan pun mereka sanggup menyalahgunakannya asalkan hasrat dan tembolok mereka dipenuhi. Malaysia telah banyak dengan undang undang yang boleh menjaga keselamatannya. Kesemuanya ini mampu untuk menjaga keamanan Malaysia, I.S.A. tidak diperlukan.

Menahan sesorang tanpa bicara adalah zalim walau apa pun hujah yang digunakan. Sekiranya sesorang itu benar benar mengancam keselamatan negara, tangkap dia dan charge dia. Nyatakan apa pertuduhannya, dakwa di mahkamah dan benarkan dia membela diri di mahkamah. Sekiranya anda tidak mempu untuk menyediakan pertuduhan dan tidak mampu menyediakan bukti bagi mempertahankan pertuduhan, maka anda tidak layak menahan mana mana individu, warga negara atau pun bukan, tanpa bicara. Itu adalah salah, salah dan salah.

Bukan kah apa yang berlaku kepada Ustaz Mokhtar Senik itu satu penganiyaan? Ditahan tanpa sebarang pertuduhan sekian lama sedangkan beliau tidak melakukan apa apa yang mengancam keselamatan negara!

Oleh itu berdemonstrasi adalah satu exercise demokrasi yang memberi ruang untuk rakyat menyatakan pendirian dan pendapat mereka. Negara negara yang mengamalkan demokrasi memberi ruang untuk berdemonstrasi, melainkan Malaysia di bawah UMNO yang hanya memberi kebenaran kepada demonstrasi yang menguntungkannya.

Sepatutnya UMNO telah mencapai pemikiran matang dalam hal ini. Beri kebenaran untuk berdemonstrasi, pihak polis mengawasi, bukan mengkasari,bukan memerangi dan bukan mengebom atomkan mereka yang berdemonstrasi. Tentukan laluan yang mereka boleh ikut dan semuanya akan berjalan dengan lancar.

Apa yang UMNO perlu takut?