Thursday, January 19, 2012

KASUT DISAPU

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Diriwayatkan daripada Syahar bin Husyab katanya telah aku lihat seorang sahabat Rasulullah s.a.w. bernama Jarir bin Abdullah mengambil air sembahyang ia dan menyapu atas dua kasutnya akan jadi ganti basuh kaki, tiadalah ditanggalkan kasutnya supaya membasuh kaki.

Apakala aku lihat demikian, maka aku kata baginya adakah sah sapu atas kasut sahaja dengan tiada berhajat basuh kaki?Maka jawabnya apakah salahnya, bukankah aku perbuat itu menurut Nabi s.a.w. kerana aku lihat ia memperbuat demikian itu.

Kata Syahar bin Husyab maka aku kata baginya adakah engkau melihat Nabi menyapu dua kasut itu dahulu daripada turun ayat dalam surah Al Maidah atau engkau lihat akan dia yang demikian kemudian daripada turun ayat Al Qur'an itu.


Maka ayatnya iaitu:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا قُمۡتُمۡ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغۡسِلُواْ وُجُوهَكُمۡ وَأَيۡدِيَكُمۡ إِلَى ٱلۡمَرَافِقِ وَٱمۡسَحُواْ بِرُءُوسِكُمۡ وَأَرۡجُلَڪُمۡ إِلَى ٱلۡكَعۡبَيۡنِ‌ۚ
Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian dari kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali

Kerana jika sekiranya Jarir bin Abdullah itu melihat Nabi sebelum turun ayat itu, maka jadilah ayat itu menasakhkan perbuatan Nabi dan jikalau ia melihat kemudian daripada turun ayat itu maka jadilah hadith ini menerangkan basuh kaki pada ayat itu jikalau tiada seseorang mengambil wudhu' itu memakai kasut dengan cukup syaratnya.


Maka jawab Jarir bin Abdullah tiada aku Islam melainkan kemudian daripada turun surah Al Maidah. Maka manakala aku telah Islam kemudian daripada turun ayat itu bilakah pula aku melihat dan aku ambil tahu Nabi itu menyapu kasut ganti membasuh kaki kerana wudhu' itu dahulu daripada turunnya, yakni tetaplah aku lihat itu kemudian daripada turunya ayat surah Al Maidah.


Maka dengan kata Jarir bin Abdullah ini jadilah ia dalil yang kuat atas mazhab mazhab yang menthabitkan sapu dua kasut itu.


Sumber : Al Marbawi ( ) Bahrul Mazi, Juzu' 1, m.s. 136, hadith 79, masalah 359