Saturday, June 13, 2009

GIGIT MEE TAK PUTUS

Assalamualaikum,


Punyalah lembut budi bahasa dan perungkap UMNO terhadap PAS pada hari ini seperti seorang gadis yang sangat sopan dan sangat santun. Bila bercakap penuh dengan adab diseri senyum melirik, bila bersuara lembut bergurindam, bila berjalan longlai pengantin. Begitulah manisnya UMNO cuba melamar PAS.

Betapa tidak, cuba perhatikan apa kata Rais Yatim yang satu masa dulu kudakan PAS: ''Dalam hal ini, saya tetap dengan pandangan bahawa Datuk Seri Abdul Hadi dan timbalannya, Nasharudin Mat Isa merupakan kategori pemimpin yang berpandangan jauh sedangkan yang lain hanya mengamalkan politik populis. Langkah Abdul Hadi itu langkah negarawan yang layak diberi penghargaan."

Lembutnya dan kasihnya dan mesranya UMNO terhadap PAS dan pemimpin pilihan mereka. Ini adalah kerana mereka telah nampak yang perangkap telah tersedia. Bukan mereka yang pasang, tetapi dipasang oleh beberapa pemimpin PAS untuk UMNO memerangkap PAS. Jadi kenapa tidak sambar peluang yang terbuka sekarang ini?

Sekarang UMNO sedang sangat lembut terhadap PAS. Mereka gigit mee pun tidak putus.