Tuesday, January 19, 2010

PEKERJAAN HAJI.....17


Assalamulaikum,



Ja'ranah

Ja'ranah ini adalah salah satu tempat miqat sekiranya kita hendak mengerjakan umrah. Diberitakan rasullullah s.a.w. bermiqat dari sini. Juga diberitakan pahala umrah yang bermiqat di sini menyamai pahala 7 kali umrah.

Teringat saya semasa mengerjakan umrah dalam tahun 1993, seorang teman sebilik bernama Pak Yah, telah sama sama bermiqat dengan kami di Ja'ranah, tetapi kemudian beliau terasa penat untuk mengerjakan umrah umrah yang lain, sehingga ketika sampai waktu untuk berangkat balik, beliau cuma dapat buat sejumlah 6 kali umrah sahaja. Sekembali di Malaysia beliau terlah bertanyakan seorang ustaz mengenai hal ini, maka ustaz tersebut memberi tahu umrahnya dari Ja'ranah telah menyerupai 7 umrah.

Ada satu perkara yang tidak boleh saya lupakan di Ja'ranah, dan saya tunjukkan di bawah ini;


Notis di atas berbunyi:
HAJJY
To your Haj very well
you must be knew this Mosque
is no defrant from of any Mosque
also The water like any water
and the place trees
like any thing

Semasa saya dan isteri membaca papan notis di atas, kami terbahak bahak ketawa. Papan notis ini berada di luar masjid Ja'ranah. Tujuan papan notis ini untuk mengelakkan orang daripada melakukan perkara syirik, sebabnya ialah semasa rasullullah berada di sini, perigi yang ada di situ telah diracun oleh musuh Islam, dan seorang sahabat telah minum airnya lalu meninggal. Rasullullah s.a.w. kemudian menawar air perigi tersebut sehingga ia kembali boleh diminum.

Jadi ramai orang yang pergi ke Ja'ranah ini dan mengambil airnya untuk pelbagai tujuan. Semasa musim haji yang baru lepas, saya tidak terpanggil untuk check papan tanda ini masih ada lagi atau tidak.










Semasa saya membuat umrah dalam tahun 1982, saya dapat lihat perigi tersebut, tetapi kemudian perigi tersebut telah dihapuskan.

Juga satu peristiwa di Ja'ranah yang sukar saya lupakan ialah semasa saya dan keluarga mengerjakan umrah dalam tahun 1997. Semasa di perkarangan masjid ja'ranah, saya dan almarhum bapa saya didatangi oleh seorang pemandu teksi arab yang pandai berbahasa Melayu. Arab ini memberi tahu bahawa dia dulu pernah ke Malaysia berniaga batu akik.

Beliau berkata; saya ada empat orang isteri. Kalau mati seorang, saya akan kawin lagi. Mati lagi, kawin lagi!

Almarhum bapa saya menyampuk: kalau kau yang mati?
Arab tersebut terus mengambil botol air dan mencurahkan ke kepalanya kerana tidak terkata dengan ulasan almarhum tersebut.

Sekiranya anda mengerjakan haji atau umrah, pergilah ke Ja'ranah.