Tuesday, October 14, 2008

ULTRA MELAYU? ATAU MELAYU ULTRA?

Assalamualaikum,


Sepanjang pengetahuan saya hanya seorang sahaja orang Melayu yang dianugerahkan darjat ultra Melayu, iaitu Mahathir Muhamad. Itu pun gelarannya itu dianugerahkan selepas peristiwa 13 mei 1969. Apabila saya teliti kamus, perkataan ultra itu membawa makna ekstrim.
Tetapi saya percaya penganugerahan darjat ultra kepada Muhyuddin Yassin dalam rencana Sinar Harian 14 Okt. 2008, m.s. N14 bukan bermaksud penerima itu ekstrim, tetapi untuk menunjukkan betapa penerima mempunyai sifat dan nilai serta attribut yang melebihi dan melepasi standard biasa bagi seorang Melayu. Kira kiranya beliau adalah seorang tersangat baik, tersangat bijak dan tersangat sopan dan tersangat berpandangan jauh. Begitulah darjat ultra Melayu yang dikurniakan kepada beliau.
Saya baca penulisan ini adalah satu pelaburan. Di kala saham saham meredum sekarang, apakah pelaburan yang paling baik kalau tidak memupuk dan menyolek dan menghimpun ampu ampuan kepada seseorang yang ditelah akan memegang tampuk kuasa dalam masa yang tidak begitu lama lagi. Pelaburan ini kalau menjadi pasti membawa pulangan yang lumayan. Kalau tidak, mengapakah ampu ampuan itu dihambur sekarang, tidak sebelum ini. Selama ini si penerima tidak layakkah dengan darjah pengurniaan tersebut?
Apa yang berlaku ialah satu stereotaip mereka yang menjulang dan mendaulat perjuangan nasionalisme aqidah UMNO. Siapa sahaja yang berada di atas, itulah orang yang diampu, itulah orang yang dicium tangannya. Apabila Anwar Ibrahim berada di atas dalam platform UMNO, ramai orang yang berebut untuk mendapat peluang mencium tangan beliau. Bila beliau terkeluar dari lingkungan itu, ada yang mengisyaratkan aksi lucah gay kepada beliau.
Oi Mat, mana ada ultra Melayu, yang ada cuma ultraman.