Thursday, February 5, 2009

TARBIYAH LANGIT UNTUK ANWAR

Assalamualaikum,



Kemelut yang berlaku di Perak sekarang adalah merupakan satu tarbiyah Allah kepada mereka yang ingin ditarbiyyahkannya. Soal paling pokok dalam kemelut ini ialah masalah hati. Hati ingin kepada kuasa, samada restu Allah didapati atau tidak, yang penting ialah kuasa itu berada di tangan.


Soal moral, kebertanggungjawaban dan kredibiliti tidak menjadi perhitungan. Apatah lagi soal syakhsiah dan akhlaq. Soal iman jauh sekali. Menunjukkan manusia yang berkecimpung dalam politik negara ini sememang telah jauh menyimpang daripada landasan yang disediakan oleh Allah.


Memerangkap dua orang ADUN Perak dengan pertuduhan rasuah adalah suatu usaha yang tidak bermoral, begitu juga merayu dan menggula gula mana mana YB samada dari BN ke PR atau dari PR ke BN adalah juga suatu perlakuan yang tidak menunjukkan kebertanggungjawaban.


Menjatuhkan sesebuah team mentadbir negeri atau negara dengan cara melompat ini adalah juga satu usaha yang tidak berperinsip dan tidak bertanggungjawab. UMNO BN telah melakukannya di Terengganu. Juga telah melakukannya di Sabah. Dan kini sedang diambang melakukannya lagi di Perak.


Sampai bila pun, cara sebegini akan dicap sebagai cara yang tidak bermaruah dan tidak berperinsip. Anda ingat 916? Ia adalah tarikh di mana Anwar Ibrahim telah cuba untuk melakukan satu political engineering dengan cara memujuk sejumlah YB menyeberang ke PR dengan tujuan untuk menjatuhkan BN. Usaha tersebut telah gagal. Walau pun dalam beberapa tulisan, saya seolah tidak disapprove kelicik ini, dengan bertujuan tidak memberi peluang kepada pihak lawan mencari ruang membidas, namun secara prinsip saya masih tetap mengatakan usaha tersebut bukanlah pilihan yang terbaik.


Sebenarnya cara Anwar Ibrahim berusaha mendapatkan tapuk pemerintahan negara melalui teknik 916 adalah salah. Saya rasa ia salah dari moral. Ia salah dari segi politik. Dan ia salah di sisi Allah.


Allah telah merestui kita yang mendokong perjuangan Islam dengan cara mengagalkan 916. Sekiranya ia berjaya, maka kebusukan usaha tersebut akan sentiasa terpalit ke muka mereka yang bersama dan merestuinya sampai bila bila.


Sekarang taktik yang sama digunakan untuk menjatuhkan kerajaan Perak. Sudah tentu taktik tersebut adalah taktik busuk, dan sentiasa berbau dan kelihatan serta dipersepsi sebagai busuk serta hina. Sesiapa yang terlibat dengannya akan ditimpa oleh persepsi hina ini sampai bila bila.


Mujur Anwar gagal dalam 916. Mujur taktik katak dijaguhi oleh UMNO. Kita akan bersih dan kelihatan bersih dari sekarang sehinggalah ke generasi akan datang.


Langit ingin memberi tahu kita taktik tersebut adalah tidak betul.



Langit ingin memberi tahu Anwar Ibrahim cara tersebut adalah tidak betul.


Itulah tarbiyyah dari langit untuk Anwar.

Juga untuk kita.