Thursday, April 30, 2009

JAMBATAN YANG DIDENDANG, DIDODOI & DIULIT

Assalamualaikum,


Dalam politik malaysia, satu ungkapan mengenai jambatan yang masyhur ialah saya dah bakar jambatan. Kata kata ini diucapakan oleh seorang pemimpin UMNO semasa beliau marahdengan UMNO. Tetapi sekarang marah itu telah sejuk dan beliau sekarang selesa didendang, dodoi dan ulit oleh UMNO.

Dalam PAS pula, ahli ahli PAS sering diperingatkan bahawa orang Islam tidak akan masuk dalam lubang ular dua kali. Sekali sudah tercebur dalam lubang tersebut, cukup lah ia sebagai pengajaran. Orang PAS diingatkan janganlah lagi ulangi kebebalan serupa , kelak akan merana.

Sekarang UMNO sudah berada dalam keadaan sangat genting. Sokongan rakyat kepada parti tersebut sangat menurun, dan tanda tanda menunjukkan, kalau tren ini berterusan dan tidak dapat di brek oleh UMNO, parti tersebut akan ditendang keluar daripada tampuk pemerintahan dalam pilihanraya umum 13.

Oleh itu timbul suara suara tentang ketuanan Melayu, bersatu dan perpaduan. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan melainkan mengembalikan kekuatan politik UMNO, dan dengan itu boleh meneruskan pemerintahan UMNO.

Untuk perkara tersebut direalisasikan, satu sahaja kunci yang mampu membuka kebuntuan tersebut. Tarik PAS bergabung semula dengan UMNO, dan dengan itu, kekuatan politik melayu akan kembali kuat dan dengan itu UMNO boleh terus berkuasa. Sekiranya ini dilakukan sebaik sahaja selesai PRU 12 yang lalu, maka negeri negeri yang sekarang ini di bawah pemerintahan PR, seperti Perak, Selangor dan Kedah, akan ditadbir oleh gabungan parti politik berteras Melayu.

Bukankah itu kelihatan bagus kepada politik perkauman Melayu?

Maka dengan itu, ada unsur dalam PAS yang ingin membawa PAS kembali kepada politik perkauman yang sedemikian tanpa memahami perubahan naluri pengundi yang sedang berlaku sekarang. Pengundi Malaysia telah sedia melepaskan sentimen perkauman yang ditanam oleh BN selama 50 tahun untuk membawa Malaysia ke suatu mercu baru yang lebih maju, telus dan penuh akauntabiliti. Tanpa mengenepikan peri pentingnya orang Melayu dalam politi Malaysia. Tanpa membuang peranan institusi raja. Tanpa menggadaikan hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputra. Tanpa apa yang dinamakan menang sorak kampung tergadai.

Tetapi kalau ini berlaku, maka nafas dan hayat UMNO akan habis. Maka gabungan PAS dan UMNO dicita semula. Tiba tiba pucuk dicita, ulam mendatang.

Jambatan yang dikehendaki bagi menghubungkan UMNO dengan PAS telah dihulur semula. Dengan satu istilah bernama kerajaan perpaduan. Ini adalah satu dendangan yang sangat cantik bagi UMNO. Dengan mengambil contoh bagaimana Nabi Yusuf telah menerima pelawaan pemerintah Mesir, maka memang, dengan cara yang bijaksana, kerjasama antara gerakan Islam dengan taghut boleh lakukan. Dalam contoh moden, Ikhwanul Muslimin pernah bekerjasama dengan parti Wafd yang sosialis di Mesir.

Maka hari idea jambatan tersebut didendang, didodoi dan diulit oleh media pembodek UMNO. Kalau dulu arkitek ini dikutuk dan dihamput, tetapi hari ini ia didendang, didodoi dan diulit.

Nama ini sangatlah manisnya didengar oleh seluruh UMNO.

Nik Abduh.