Wednesday, April 16, 2008

KETUANAN MELAYU

Semasa saya belajar diperingkat menengah rendah di Melaka, saya terasa semacam inferiority complex terhadap pelajar-pelajar dari bangsa Cina terutamanya, kerana saya berasal dari keluarga yang sangat miskin dan terlalu mundur dari segi material. Walaupun pada masa itu saya boleh mengatasi sebahagian besar pelajar Cina dari segi akademik, namun dari segi material dan sedikit sebanyak kebolehan lain, saya memang terasa sedikit inferior. Apabila saya memasuki Malay College Kuala Kangsar, persepsi ini berubah, kerana di sana Orang Melayu, atau pelajar Melayu setanding, kalau tidak pun mengatasi pelajar dari semua kaum. Di sana saya mula merasai bahawa orang Melayu sebenarnya boleh bergerak sederap dengan bangsa-bangsa lain, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di dunia.




Apabila saya memasuki Universiti Malaya, dan mengambil beberapa kursus yang berkaitan dengan Melayu, sikap enthocentrism mula meresap, dan saya juga tidak mempertikaikan kejagohan UMNO dalam hal ini. Cuma saya rasa agak kaget apabila di common room Kolej Ke 5, diwaktu menonton berita, saya lihat Hishamudin Rais sering mengutuk berita yang disampaikan. ini adalah satu pengalaman baru bagi saya, sebab, sebagai anak kampung, tidak pernah pun saya dan masyarakat kampung saya mempertikaikan berita yang dikeluarkan di tv.




Apabila saya menjadi pensyarah di Universiti Malaya dan berkawan dengan pensyarah-pensyarah Melayu yang lain, sifat enthnocentrism itu bertukar kepada racism, iaitu rasa mengagungkan Melayu saya walau apa pun. Juga saya rasa ramai orang Melayu mempunyai sikap ini, iaitu my race, right or wrong. Sebab itulah, kalau ada pemimpin politik Melayu dari parti UMNO yang melakukan kesalahan undang-undang, palingkuat tindakan mungkin ia tidak dicalonkan lagi, dan bukan diadili oleh mahkamah.


Semasa saya mengikuti program PhD di USA, saya berkawan dengan mereka yang ada latar belakang perjuangan Islam. Di masa itu saya mengenali Islam dengan lebih mendalam, dan saya kemudiannya faham bahawa Islam tidak mengagungkan bangsa, puak atau suku, tetapi ketaqwaan sesorang itu kepada Allah. Jadi kita tidak benci sesorang itu kerana ia Cina, atau India, dan kita tidak bersikap mesti menyebelahi sesorang itu kerana dia Melayu. Yang salah di sisi undang-undang tetap salah, walau apa pun bangsanya.

Islam membebaskan kita dari menjadi racist. Ramai daripada mereka yang memperjuangkan ketuanan Melayu adalah mereka yang racist. Mereka akan melaungkan ketuanan Melayu walaupun yang menjadi ketua itu orang yang zalim, korup, mendiskriminasi, mencuri, merompak, menyokong ISA dan sebagainya. Asalkan Melayu berkuasa, semuanya dimaafkan.


Perlu diingatkan kepada puak ini, pemikiran yang sedemikian adalah pemikiran yang songsang, dan telah ditolak oleh rakyat dalam PRU12 yang baru lepas. Semua bangsa di negara ini setuju agar orang Melayu menerajui pemerintahan, tetapi kepentingan semua kaum dan kumpulan etnik tetap dijaga. Mereka juga tidak mahu Melayu yang korup, membolot harta negara, angkuh dan tamak terus menguasai Malaysia.


Itulah mesej rakyat Malysia kepada Kongres Permuafakatan Melayu di Johor Bharu pada 2 dan 3 Mei ini .