Tuesday, April 15, 2008

PAKATAN RAKYAT MEMERINTAH

Mengikut kenyataan pemimpin de facto Pakatan Rakyat (PR) Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini, gabungan itu sekarang mempunyai peluang cerah untuk menjadi kerajaan yang memerintah di peringkat persekutuan. Ini merupakan satu perkembangan baru dalam suasana politik di Malaysia. Walaupun PR mempunyai 82 kerusi parlimen daripada sejumlah 222 keseluruhan kerusi, namun pada persilatan Anwar, pakatan itu sekarang mempunyai cukup kerusi untuk membentuk kerajaan. ini adalah satu senario yang belum dialami di Malaysia selama ini, dan tentunya ia akan menjadikan iklim politik di negara ini semakin menarik dan rancak.


Bagaimanakah kerajaan PR boleh dibentuk nanti? Ramai orang menjangkakan penggunaan undi tidak percaya kepada kerajaan BN boleh menjatuhkan parti pemerintah itu dan dengan itu pembentukan team baru untuk membentuk kerajaan boleh dilakukan. Mekanisma untuk menjatuhkan kerajaan BN sekarang tidak menjadi sesuatu yang sukar dari segi teorinya, tetapi tentulah BN juga sedang membaca suasana sekarang dan sedang bersiap sedia sekiranya keadaan ini betul-betul terjadi nanti.


Persoalan yang lebih penting ialah adakah seluruh rakyat Malaysia telah bersedia untuk menerima perubahan kerajaan daripada BN kepada PR? Ini adalah satu persoalan besar yang perlu diambil kira dengan teliti sebelum sebarang political engineneering skala besar dilakukan seperti apa yang sedang membara sekarang. Modal utama PR setakat ini ialah dengan kemenangan besar dalam PRU12 yang lepas, rakyat kelihatan menerima perubahan yang dibawa oleh keputusan pilihanraya tersebut, dan dengan itu, rakyat dapat menerima pemerintahan selain daripada BN seperti yang ditunjukkan di lima negeri yang dikuasai oleh PR. Dari segi psikologinya, rakyat telah disediakan persiapan untuk perubahan langkah pertama.


Tetapi perubahan pada langkah seterusnya adalah merupakan satu perubahan drastik yang belum pernah dialami oleh rakyat Malaysia sebelum ini, dan Anwar Ibrahim ingin membawa perubahan ini. Oleh itu seluruh rakyat Malaysia hendaklah disediakan dahulu sebelum perubahan ini berlaku. Seluruh rakyat Malaysia hendaklah di psyche up secukupnya sebelum perubahan ini menjadi kenyataan. Gendang memaklumkan perubahan pemerintahan dari BN kepada PR perlu dipalu sekuat mungkin untuk menyediakan seluruh rakyat Malaysia dari segi psikologi.


Untuk melakukan ini, iaitu menyediakan rakyat Malaysia untuk perubahan besar ini memerlukan masa, dan masa di sini bermaksud tempoh yang cukup untuk rakyat bersedia dengannya tetapi bukan terlalu lama sehingga BN dapat mengumpulkan kekuatannya. Juga masa yang cukup untuk membolehkan Anwar Ibrahim kembali ke parlimen dan melakukan political engineering yang belum pernah kita saksikan selama ini.