Saturday, May 10, 2008

BUKAN KAH KETUANAN MELAYU ITU RACIST?

Assalamulaiukum,

Belum pun selesai perbincangan Permuafakatan Melayu yang bersidang di Johor Bharu pada 2-3 Mei 2008 merenjis habuk rokok mereka, telah timbul bantahan daripada kerabat BN mengenai Ketuanan Melayu. Naib Presiden MCA , Ong Tee Keat dilaporkan berkata istilah tersebut membawa maksud orang Melayu adalah tuan, dan orang lain (bangsa lain) adalah hamba. Kita hendaklah melihat isu ini dari segi sensitivit semua kaum. Pada saya apa yang luahkan oleh naib presiden MCA itu adalah satu kegusaran yang biasa timbul apabila tindakan sesuatu pihak dilihat dan kelihatan mengancam pihak lain. Di sini, hasil daripada laungan ketuanan Melayu ini ialah bangsa lain di Malaysia merasa terancam.
GAPENA, yang menjagohi isu ini, melalui ketua satunya , Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein cuma menerangkan keadaan mengikut pandangannya, yang bukan menjadikan perkara ini semakin jernih. Mengikut beliau, istilah ketuanan ini tidak boleh diertikan mengikut kamus, tetapi hendaklah mengikut tafsirannya. Tafsiran beliau ialah: tuan rumah. Sebagai tuan rumah, setiap tetamu akan dilayan dengan bersopan-santun dan berbudi bahasa. Istilah ketuanan dalam erti sebenarnya adalah tuan rumah, bukannya tuan yang menguasai hamba. Salah faham kepada maksud istilah ini menyebabkan ia menjadi isu sensitif, katanya.
Kalau kita ambil makna tuan rumah sekali pun, ketuanan Melayu akan membawa maksud orang Melayu adalah tuan kepada negara ini, sementara bangsa-bangsa lain ialah tetamu. Kita tahu tetamu tidak boleh membuat sesuatu di rumah yang dikunjungnya secara sesuka hati, ada batas-batas yang perlu dijaga. Ini dengan sendirinya meletakkan status tetamu lebih rendah daripada status tuan rumah.
Yang tidak difahami oleh puak ini, atau pura-pura tidak memahami , ialah bahawa apabila kita mengakui bahawa yang diistilahkan sebagai tetamu tadi adalah warganegara, seperti yang termaktub dalam MyKad atau kad pengenalan Malaysia, maka mereka mempunyai semua hak seperti yang dipunyai oleh setiap bangsa dalam negara ini. Sebab itulah mereka diberi hak membuang undi, yang merupakan satu hak yang sangat besar nilainya dalam kehidupan bertata negara.
Tetapi kalau kita junamkan darjat mereka menjadi tetamu sahaja, maka semua bangsa akan merasa terhina dan akan menggelogakkan rasa ketidak puasan. Ini adalah bibit-bibit perpecahan yang sangat besar implikasinya kepada kestabilan negara ini.
Sedangkan selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969, semua bangsa di Malaysia telah bersetuju untuk hidup aman damai, dan tidak ingin mencabar dominance Melayu dalam perkara-perkara yang telah sama-sama dipersetujui.
Kekalahan UMNO dalam pilihan raya 12 adalah kesalahan UMNO, bukan kesalahan orang Melayu. Generasi pengundi baru telah memberi isyarat bahawa UMNO bukan lagi institusi Melayu, tetapi satu sarkas yang semakin memalukan Melayu. Tidakkah GAPENA faham isyarat tersebut?