Saya pernah mendengar satu kelas pengajian yang diberikan oleh almarhum Ustaz Dr. Saudi, bekas pensyarah Fakulti Pengajian Islam, UKM diawal tahun 90an, di sebuah surau bernama Surau Al Ehsan, di Bandar Baru Bangi, Selangor. Almarhum memberi tahu, beliau telah pergi ke masjid AlAqsa semasa beliau menjadi pelajar di timur tengah, masa itu belum lagi berlaku perang Arab-Israel 1967. Jadi saya agak mungkin dalam tahun 1965. Beliau memberi tahu yang beliau telah bertemu dengan imam Masjid Al Aqsa, dan minta ditunjukkan manakah tempat batu tergantung yang dikatakan terjadi disebabkan batu tersebut hendak mengikut Rasullullah s.a.w. mikraj ke langit. Baginda tidak mengizinkan batu tersebut, sedangkan batu itu telah terangkat sedikit, jadi, oleh kerana tiada keizinan, batu itu terus terapung keadaannya.
Almarhum memberitahu, bahawa imam masjid Al Aqsa memberi tahunya, tiada batu yang sedemikian. Almarhum memberitahu, ada, sebab dalam kita-kitab Melayu ada menyebutkan perkara yang sedemikian. Tetapi imam tersebut tetap menyatakan tiada perkara yang sedemikian. Maka almarhum pun menerima penjelasan tersebut dan dalam kelas pengajiannya memberi tahu kami sedemikian.
Saya terperanjat melihat artikel dalam Harakah keluaran 6-12 Syaaban/8-14 Ogos, dalam pullout Fikrah, ruang Agama muka surat 37 memuatkan sekeping gambar yang memberi persepsi batu terapung dengan caption: Batu terapung di Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis ketika berlakunya peeristiwa mikraj Rasullullah s.a.w.
Beberapa tahun sebelum ini saya telah melihat imej seperti ini dalam laman web, dan telah dinyatakan sebagai permainan mengubah imej foto. Maknanya gambar tersebut tidak benar. Lebih mudah gambar tipu. Tetapi Harakah mencetak gambar ini. Adakah Harakah dah pasti gambar tersebut sahih? Atau pihak Harakah tidak begitu cermat dalam research mereka. Atau sengaja nak mencari sesuatu yang sensasi, atau plain bebal?